Felda, FGV menang saman ke atas Wan Azizah
Felda dan Felda Global Venture Holdings Sdn Bhd (FGVH) semalam menang dalam saman mereka terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Wan Azizah dan dua individu lagi.
Ia adalah berhubung penerbitan dua artikel berbaur fitnah terhadap Felda dan FGVH menerusi akhbar Suara Keadilan, lapor Utusan Malaysia.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Kamaluddin Md Said memutuskan agar jumlah ganti rugi yang akan diterima Felda dan FGVH dalam saman itu ditaksirkan oleh penolong kanan pendaftar mahkamah kelak.
Kenyataan fitnah itu dimuatkan dalam berita bertajuk 'Felda Bankrap' dan ia diterbitkan dalam Suara Keadilan pada 22 Jun 2010.
Satu lagi kenyataan fitnah pula diterbitkan akhbar sama menerusi gambar bertajuk 'Kontroversi' dan 'Bina Bangunan RM662 juta Hanya Libatkan Tiga Individu' pada hari yang sama.
Dalam saman sebelum ini, Felda menuntut ganti rugi sebanyak RM200 juta.
Ia menamakan Wan Azizah, bekas naib presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, bekas editor Dzulkarnain Taib dan penulis berita, Rusnizam Mahat sebagai defendan.
Dzulkarnain bagaimana pun meminta maaf kepada Felda pada 30 September lalu dan mengaku berita itu diterbitkan dengan niat memperkecil dan merosakkan nama baik Felda.

