Nancy enggan masuk campur keputusan AG
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata beliau tidak akan meminta peguam negara menyemak semula keputusan untuk tidak bertindak ke atas Presiden PERKASA, Datuk Ibrahim Ali.
Nancy memberi alasan bahawa beliau tidak mahu “masuk campur” dalam urusan kerja peguam negara.
Tegasnya, beliau tidak bertanggungjawab untuk menyiasat Ibrahim Ali dan beliau hanya membacakan hasil siasatan dalam jawapan di parlimen untuk soalan dikemukakan oleh MP Bagan, Lim Guan Eng.
"Jika saya yang melakukan tugas itu, saya akan pastikan bahawa ia dijalankan dengan teliti, dan saya akan menjawab untuk memastikan ia mencerminkan diri saya sebenar.
“Tetapi ia (siasatan) tidak dijalankan oleh saya, jadi saya perlu membacakannya,” katanya ketika ditanya pemberita hari ini.
Beliau ditemui di Persidangan Perwakilan Gerakan Nasional di Kuala Lumpur hari ini.
Nancy menerima kritikan meluas susulan jawapannya bahawa kerajaan tidak akan mengambil tindakan ke atas Ibrahim, yang mengancam untuk membakar naskhah Bible dalam bahasa Melayu yang menggunakan kalimah 'Allah'.
Dalam jawapannya, beliau memberi alasan bahawa Ibrahim hanya “mempertahankan Islam”.

