NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tetap berharap agar pelakon popular Rozita Che Wan akan menolak tajaan oleh KPJ Healthcare ke atas rawatan bersalin artis itu.

Penyelaras SAMM Johor, Hadzril Rizal berkata tindakan itu akan mencerminkan kemuliaan pelakon popular tersebut.

“SAMM Johor tidak berniat mempertikaikan rezeki yang diterima oleh bakal anaknya tetapi apalah salah kiranya Rozita Che Wan mempunyai sedikit jiwa yang besar dan menjadi seorang selebriti yang mulia dengan menolak pemberian KPJ ini.

“Sebaliknya (mintalah) KPJ bantu ramai lagi orang-orang susah yang memerlukan bantuan rawatan kesihatan daripada mereka,” katanya lagi dalam kenyataannya.

Beliau mengulas kenyataan Rozita yang meminta agar tajaan berkenaan tidak dipertikaikan kerana ia merupakan rezeki beliau dan bakal cahaya matanya.

Laporan Berita Harian menyebut, Rozita berkata rezeki berkenaan sememangnya merupakan ketetapan ilahi.

“Saya berfikiran positif biarpun ada segelintir pihak yang mempertikaikannya,” katanya seperti dipetik dalam laporan tersebut.

“Saya percaya setiap manusia sudah tertulis rezeki masing-masing dan secara peribadi, saya dan suami sudah menyediakan peruntukan tertentu untuk menanti kelahiran bayi ini kerana itu tanggungjawab kami sebagai ibu bapa.”