Kes kematian akibat denggi terus meningkat
Sebanyak 153 kes kematian akibat demam denggi dicatat sehingga pertengahan Oktober tahun ini di seluruh negara berbanding hanya 55 kes untuk tempoh yang sama tahun lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ini adalah peningkatan ketara di mana terdapat sebanyak 80,578 kes demam denggi berbanding hanya 25,119 kes pada tempoh sama untuk tahun lepas.
"Pada minggu lepas, terdapat empat kematian akibat komplikasi denggi dilaporkan iaitu masing-masing di Sabah, Kuala Lumpur, Johor dan Perak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelasnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengenalpasti 113 lokasi 'hotspot' wabak yang masih aktif di seluruh negara iaitu 65 di Selangor, 45 di Kelantan dan masing-masing satu di Sarawak, Sabah dan Perak.
"Daripada pemantauan KKM, sebanyak 82,747 premis telah diperiksa dan daripada jumlah itu 1,186 premis didapati terdapat pembiakan Aedes pada minggu lepas," katanya.
Antara kawasan yang menjadi tempat pembiakan Aedes ialah tanah perkuburan, tapak pembinaan, tanah kosong, tempat ibadat, tempat pembuangan sampah, sekolah, taman rekreasi, pejabat kerajaan dan kilang.
Di Kota Bharu, kes demam denggi yang dicatatkan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menunjukkan penurunan drastik iaitu daripada 180 kes sehari pada Ogos lalu kepada 50 kes sehari sejak dua minggu lalu.
Pengarahnya Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan berkata trend penurunan itu dilihat positif kesan daripada kerjasama pelbagai pihak dalam membasmi wabak itu yang dilaporkan serius sebelum ini.
"Jika sebelum ini hampir 200 pesakit sehari menerima rawatan di hospital ini, kini berkurangan kepada seramai 50 pesakit sehari," katanya kepada pemberita selepas Program Larian Amal Kesedaran Penyakit Demensia (nyanyuk) di Jabatan Psikiatrik dan Kesihatan Mental di sini, hari ini.
Beliau berkata daerah Kota Baharu masih menjadi penyumbang tertinggi kes demam denggi diikuti daerah Tumpat.
- Bernama

