Bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan berpendapat bahawa akta baru yang menggantikan ISA tidak mampu mengekang kegiatan kumpulan militan Negara Islam (IS).

Katanya, kegiatan seperti itu sukar dibuktikan mengikut peruntukan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Menurut laporan Utusan Malaysia hari ini, beliau berkata ia seterusnya akan menggagalkan usaha pendakwaan.

“Perkara tersebut menyebabkan penguatkuasa mengambil masa yang lama untuk mengukuhkan bukti sedia ada dan akhirnya gagal untuk membuat pendakwaan,” katanya.

 

Menurutnya, pihak pendakwaan juga sukar untuk membuktikan penglibatan mereka yang direkrut pertubuhan itu di luar negara.

Musa yang kini mempengerusikan NGO Komuniti Prihatin Jenayah Malaysia (MCCC) turut menggesa agar orang ramai dididik dengan erti sebenar jihad.

 

Polis pada Rabu lalu menahan 14 individu yang dipercayai dalam persiapan untuk menyertai IS di Syria - di Shah Alam dan Damansara.

Tiga daripadanya disyaki penggerak utama yang bertanggungjawab merekrut, membiayai dan mengatur pemergian rakyat Malaysia ke Syria untuk menyertai kumpulan pengganas IS.  

Operasi khas tersebut dijalankan oleh Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman di sekitar Shah Alam dan Damansara, Selangor mulai Isnin (13 Okt).

Kesemua yang ditahan adalah rakyat negara ini, berumur antara 14 dan 48 tahun, terdiri daripada peniaga, event crew, tukang masak, pereka grafik, pelajar, suri rumah dan jurutera.