Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Sebanyak 7,411 individu berikrar sebagai penderma organ dalam 'Kempen Jalanan #dermaorgan' yang berlangsung selama lapan hari bermula dari 11 Okt hingga hari ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata pada hari pertama sahaja, sebanyak 5,103 penderma baharu daripada pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat umur telah berikrar untuk mendermakan organ mereka.

"Usaha ini tidak akan berhasil jika tiada sokongan dan komitmen berterusan daripada semua pihak. Pihak kementerian juga berharap agar pihak media dapat terus memainkan peranan dengan lebih aktif untuk mempromosikan mesej kepentingan pendermaan organ ini kepada seluruh lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis makan malam sempena 'Penghargaan Pendermaan Organ 2014' di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur malam tadi.

Hadir sama, Ketua Pengurus Klinikal Pusat Sumber Transplan Nasional, Unit Perkhidmatan Transplan, Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Fadhilah Zawyah Lela Yasmin Mansor.

Kempen jalanan itu merupakan kaedah baharu yang digunakan kementerian untuk menyampaikan maklumat berkaitan pendermaan organ berbanding hanya melalui majlis tertutup dengan kumpulan sasar yang kecil.

Dr Hilmi berkata jurang antara bilangan penderma organ sebenar adalah amat ketara jika dibandingkan dengan bilangan pesakit yang mengalami kegagalan organ tahap akhir dan perlu menjalani pemindahan organ gantian.

Justeru katanya, sebuah pelan strategik berkaitan kempen kesedaran pendermaan organ telah dirangka bagi meningkatkan jumlah pendermaan organ di negara ini.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Tan Sri Lee Lam Thye berkata pendermaan organ bukan hanya isu berkaitan perubatan sahaja, malah ianya menjadi tanggungjawab kepada masyarakat.

"Bilangan penderma organ yang berdaftar kini adalah sebanyak 266,000 dan jumlah ini hanyalah satu peratus daripada jumlah rakyat di Malaysia. Maka dengan ini, usaha yang berterusan perlu bagi menambah bilangan pengikrar yang mahu mendermakan organ mereka," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS