Malaysiakini BERITA

Peguam: Kesalahan Mejar Zaidi hanya kerana berani

Radzi Razak  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Malaysiakini

Keputusan kes Mejar Zaidi Ahmad terhadap lima pertuduhan memberi kenyataan media berkenaan isu dakwat kekal dibuat pada 27 Oktober depan.

Yang dipertua Mahkamah Tentera bagi kes itu Kolonel Saadon Hasnan mengumumkan perkara itu selepas mendengar hujahan penggulungan peguambela dan pendakwa raya kes hari ini.

"Panel memerlukan masa untuk bincangkan keputusan.

"Keputusan sama ada wujud prima facie terhadap kes ini akan dibuat pada 27 Oktober 2014 pada jam 2 petang," kata beliau di Mahkamah Tentera Pengkalan Udara Sungai Besi hari ini.

Mejar Zaidi menghadapi tujuh pertuduhan bawah Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972 yang membawa hukuman maksima penjara dua tahun atau mana-mana lebih ringan, termasuk dibuang kerja atau diturunkan pangkat.

'Tiada kuasa siasat'

Peguambela Hanipa Maidin ( bawah ) dalam hujahnya menyatakan pihak pendakwaraya gagal membentangkan keterangan dan fakta menyokong pendakwaan mereka.

Beliau menyatakan sehingga kini tiada bukti bahawa dokumen kawat tumpangan luar yang didakwa dibawa keluar kepada pihak media dinyatakan untuk menyokong pertuduhan ke atas Zaidi.

Beliau menegaskan Zaidi hanya memberi kenyataan kepada media atas kapasiti beliau pengundi berdaftar dan bukannya melanggar arahan Angkatan Tentera.

"Dakwat kekal itu bukannya dibekalkan tentera dan mereka tiada kuasa menyiasat kerana ia di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Satu-satunya kesalahan dia (Zaidi) adalah kerana dia berani.

"Dia tak sepatutnya diberikan apa-apa tindakan, dia sepatutnya diberikan medal," kata Hanipa dalam hujahan penggulungan beliau.

Pendakwaan hanya gulung 3 perkara

Sementara itu dalam penggulungan mereka sebelum Hanipa, pendakwaraya Ahmad Azam Soip dan kumpulannya hanya memberi penggulungan kepada tiga tuduhan pertama.

Tuduhan tersebut meliputi Zaidi membuat kenyataan media tanpa kelulusan Kementerian Pertahanan, menyiarkan kawat tumpangan keluar kepada pihak media dan menyatakan rasa tidak puas hati berhubung isu dakwat kekal kepada media yang sepatutnya disiasat oleh Angkatan Tentera Malaysia.

Sementara itu bagi pertuduhan keempat dan kelima, pihak pendakwaraya membuat keputusan menyerahkan perkara tersebut kepada mahkamah untuk keputusan tanpa menambah hujah.

"Kami menumpukan kepada pertuduhan pertama, kedua dan ketiga," kata beliau ketika diminta menjelaskan perkara itu oleh mahkamah tadi.

Pada 10 Jun lalu, pihak pendakwaraya meminda lima pertuduhan berhubung isu dakwat kekal ketika pilihan raya kecil ke-13 yang dihadapi Zaidi.

Pindaan dibuat Hanipa membantah bahawa kelima-lima pertuduhan berkenaan adalah cacat, pada sidang perbicaraan April lalu.

Pindaan bagi pertuduhan pertama dan kedua menyaksikan tempat kesalahan didakwa dilakukan Mejar Zaidi ditukar daripada “perkarangan balai polis IPD Kepala Batas…” kepada “perkarangan surau balai polis IPD Kepala Batas…”.

Tuduhan pertama dan kedua kini dibaca sebagai ‘di perkarangan surau balai polis IPD Kepala Batas pada 1 Mei 2013′ melanggar Perintah Majlis Angkatan Tentera No 13 Tahun 1961.

Bagi pertuduhan ketiga, keempat dan kelima, pertuduhan kekal sama namun seksyen yang digunakan ditukar daripada Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 kepada Seksyen 51 Akta Angkatan Tentera 1972.

Dua lagi pertuduhan berkenaan hantaran SMS berbaur politik masih tidak dibicarakan.

Pada 7 Februari lalu, Zaidi dari Pangkalan Udara Butterworth mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan melanggar perintah Majlis Angkatan Tentera dan dua pertuduhan menghantar SMS berbaur politik.