Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Laporan tanah runtuh apartmen teratai Jumaat ini
Diterbitkan:  Oct 23, 2014 9:15 AM
Dikemaskini: 1:18 AM

Laporan penuh insiden kejadian tanah runtuh di Apartment Teratai, Taman Bunga Raya, Bukit Beruntung, di Hulu Selangor akan dikeluarkan Jumaat ini.

    

Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali berkata laporan itu akan dibentangkan Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada kerajaan negeri.

    

Beliau berkata, menurut laporan terkini JKR bersama Majlis Daerah Hulu Selangor, mendapati pergerakan tanah pada tahap minimum didapati masih berlaku.

Disebabkan situasi berkenaan, Azmin berkata JKR sedang menjalankan kerja-kerja memasang cerucuk keping sebagai langkah menstabilkan tanah di kawasan dua lagi blok apartment di situ.

    

"Usaha memasang 'sheet pile' (cerucuk keping) masih dijalankan kerana bimbang tembok yang sedia ada itu runtuh lagi. Sekiranya petang ini hujan turun, kita akan memasang kanvas bagi mengelakkan tanah jatuh," katanya selepas majlis sambutan Deepavali bersama mangsa tanah runtuh semalam.

Azmin berkata JKR turut melakukan pemasangan alat pengesan di kawasan tanah runtuh itu dan sedang menjalankan kajian tanah bagi membolehkan kerja-kerja memotong bukit di kawasan yang terlibat.

    

"Sebaik sahaja laporan keluar, jika perlu kami telah melantik kontraktor untuk kerja-kerja memotong (bukit). Ia bagi memastikan bebanan tanah itu tidak terlalu besar," katanya.

    

Sehingga kini, sebanyak 219 keluarga membabitkan 860 penduduk yang menetap di dua blok Apartment berkenaan terlibat dalam insiden kira-kira 10 pagi, Isnin.

Mereka kini ditempatkan di tiga penempatan iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 (142 keluarga, 517 orang), Sekolah Kebangsaan Taman Bunga 2 (45 keluarga, 196 orang) dan Sekolah Menengah Taman Bunga Raya 1 (32 keluarga, 147 orang).

- Bernama

Lihat Komen
ADS