Polis menahan seorang juruteknik dan merampas 21 jenis bunga api dan mercun bernilai kira-kira RM15,000 di sebuah rumah yang dijadikan stor penyimpanan di Taman Maju di Jasin.
Ketua Polis Daerah Jasin DSP Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata lelaki yang bekerja di sebuah kilang di daerah itu ditahan di luar rumah teres setingkat dipercayai ketika sedang menunggu pelanggan kira-kira 10.30 malam Selasa lepas.
"Kesemua bunga api dan mercun tersebut ditemui di sebuah bilik di rumah berkenaan yang dipercayai beroperasi sejak sebulan lepas," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Jasin hari ini.
Beliau berkata antara jenama bunga api dan mercun tersebut termasuk 'Fireworks Happy Boom', 'Time Rine', 'Pack 9', 'Magie Boom', 'King Boom' dan 'Thunder Clap Rocket'.
Katanya serbuan di rumah itu hasil maklumat orang awam dan intipan selama satu jam dilakukan unit khas yang ditubuhkan bagi mengekang aktiviti penjualan bunga api dan mercun di daerah Jasin.
Muhd Nur Hishamuddin berkata siasatan awal mendapati kesemua bekalan bunga api dan mercun tersebut dipercayai diseludup masuk dari negara luar termasuk dari China dan Thailand untuk dijual di sekitar Jasin pada waktu malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
Bagaimanapun katanya bapa kepada dua anak terbabit dilepaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan, katanya.
- Bernama
