Kawalan keselamatan di kampus Universiti Malaya dipertingkatkan menjelang ceramah Datuk Seri Anwar Ibrahim di kampus itu malam ini.

Dalam kenyataannya, Pengarah Pejabat Keselamatan UM Yusof Harun berkata hanya kenderaan yang mempunyai pelekat universiti dibenar memasuki kampus perdana itu.

Menurutnya lagi, langkah tersebut dilakukan atas arahan pengurusan universiti.

"Pejabat Keselamatan diminta oleh pengurusan Universiti Malaya untuk meningkatkan kawalan keluar masuk kenderaan di pintu-pintu utama Universiti Malaya.

"Hanya kenderaan yang berpelekat UM sahaja dibenarkan memasuki kawasan kampus pada hari ini," katanya.

Pintu pagar di Jalan Elmu, Fakulti Bahasa dan Linguistik serta pintu pagar arah Damansara ditutup bermula jam 10.30 pagi ini.

"Bagaimanapun anggota keselamatan masih bertugas di pintu pagar berkenaan bagi membantu warga kampus yang ingin keluar dari Universiti Malaya.

"Warga kampus digalakkan untuk merancang pergerakan keluar masuk kampus pada hari ini untuk mengelakkan kesesakan pada waktu puncak," kata Yusof.

Sementara itu, NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) menggesa UM agar akur dengan titah Canselornya, Sultan Nazrin Shah.

Cubaan UM untuk menghentikan pidato Anwar hari ini, kata SAMM, "bertentangan" dengan titah baginda sebelum ini.

"Sultan Nazrin Muizzudin Shah yang juga Canselor UM telah menitahkan mengenai kepentingan minda terbuka yang akan menyuburkan perasaan sabar dan toleransi untuk bersedia mendengar hujah yang berbeza betapa sekali tidak dipersetujui.

"Minda terbuka ini akan memberikan ruang untuk membolehkan lahir dan tumbuhnya idea baru, menyemarakkan budaya inovasi dan menyuburkan minda kreatif.

"Tetapi tindakan pentadbiran UM ini bertentangan dengan kehendak minda terbuka seperti yang dititahkan oleh Canselornya sendiri," kata Pengarah Pemikir Kaum Muda SAMM Ahmad Anwar Asyraf dalam satu kenyataan.

Ketegangan sedang memuncak di sekitar kampus universiti di Kuala Lumpur kerana pelajar cuba Berkeras untuk meneruskan ceramah.

Tinjauan Malaysiakini mendapati papan iklan diconteng dengan mesej anti-Anwar pagi ini, dalam usaha Anwar untuk menyampaikan pidato di universiti yang beliau pernah tuntut sebelum pergi ke mahkamah esok untuk merayu sabitan liwatnya.

Balik awal

Sementara itu UM telah meminta semua kakitangan dan pelajar supaya meninggalkan kampus pada pukul 4 petang dan memberi amaran penceroboh boleh didakwa menjelang rancangan untuk Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berucap di sana malam ini.

Manakala Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa dan Korporat UM, Zarina Zainol Abidin berkata UM mempunyai kuasa mutlak ke atas semua aktiviti di kampus dan rancangan lawatan Anwar tidak pernah diluluskan oleh pihak universiti.

UM, katanya,  sebagai pemilik berdaftar universiti, mempunyai hak mutlak ke atas setiap aktiviti yang dijalankan atau akan dijalankan di dalam kawasan universiti.

"Sebarang aktiviti dari mana-mana individu atau pertubuhan (jika) dilakukan di kawasan Universiti tanpa kebenaran dari pihak Universiti dengan ini membawa maksud satu pencerobohan dan pihak Universiti selaku pemilik berdaftar berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu atau pertubuhan tersebut," kata Zarina dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga menafikan bahawa universiti itu di belakang surat yang diedarkan secara online bahawa polis akan mengambil alih keselamatan UM menjelang kunjungan Anwar.

Katanya, surat yang menyatakan UM akan 'dikunci' hari ini adalah palsu dan satu laporan polis telah dibuat mengenainya.

Kunjungan Anwar itu dilihat sebagai usaha untuk mendapatkan sokongan menjelang kes rayuan Liwat II  mulai esok.

Gangguan elektrik, kelas dibatalkan

Sementara itu satu pekeliling atas nama Pendaftar UM Pendaftar Yusoff Musa menggesa semua staf dan pelajar supaya meninggalkan kampus pada pukul 4 petang ini, atas alasan gangguan bekalan akibat cuaca buruk.

"Adalah dimaklumkan bahawa keadaan cuaca buruk dan tidak

menentu kebelakangan ini telah mengakibatkan beberapa insiden gangguan elektrik dan kerosakan pada pencawang elektrik universiti. Keadaan ini adalah merbahaya dan pihak universiti sedang menjalankan kerja baikpulih dan penyelenggaraan pencawang elektrik di beberapa lokasi utama di universiti.

"Semua staf dibenarkan meninggalkan pejabat selepas waktu yang ditetapkan dengan merekod alasan tersebut di dalam sistem kehadiran e-attendance.," menurut e-pekeliling itu.

Malaysiakini mengesahkan kesahihan pekeliling dan difahamkan bahawa notis yang sama telah dihantar sebelum perayaan Deepavali.

Pelajar juga telah menerima emel penjadualan semula semua kelas untuk malam ini kerana "penutupan kampus".

Ketika dihubungi, pembekal kuasa TNB berkata ia tidak melakukan sebarang kerja di pencawang di UM.

Bagaimanapun, pendaftar dalam pekeliling itu berkata bahawa kerja-kerja pembaikan akan dilakukan oleh universiti itu sendiri.

Laporan tambahan oleh Alyaa Azhar