PKR membidas pihak yang mendakwa mereka keluar negara untuk memalukan Malaysia beberapa minggu sebelum keputusan kes liwat II melibatkan Ketua Umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, Ketua Biro Antarabangsa PKR Gooi Hsiao Leung berkata mereka ke sana untuk menjemput beberapa pemerhati undang-undang antarabangsa bagi memastikan proses itu berjalan dengan adil dan bebas tanpa sebarang campur tangan.

"Kita bekerjasama dengan beberapa pertubuhan antarabangsa dan pihak kedutaan, begitu juga pengamal undang-undang daripada Australia, United Kingdom, Perancis, Indonesia dan lain-lain.

"Pertubuhan antarabangsa seperti Persekutuan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia (FIDH), Pertubuhan Undang-undang Asia Pasifik (Lawasia), Inter-Parliamentary Union (IPU), Australian Law Council dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan untuk menghantar pemerhati mereka esok," katanya dalam sidang medianya di Lobi Dewan Rakyat, hari ini.

Nasib Anwar bakal diketahui minggu ini selepas Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan peguam bela MP Permatang Pauh itu untuk menolak hukuman penjara 5 tahun yang dikenakan oleh Mahkamah Rayuan terhadap beliau.

Gooi menyatakan sokongan antarabangsa itu termasuk ulama terkenal dunia, Dr Yusuf Al-Qaradhawi.

Sementara itu Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata tiba masanya Malaysia yang baru memenangi kerusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan bahawa mempunyai standard tinggi dalam sistem keadilan.

Tunjuk standard tinggi

"Ia akan mendesak (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib (Tun Razak) memastikan standard pengadilan tertinggi kepada Datuk Seri Anwar (Ibrahim)," kata beliau.

Rafizi turut mengulas larangan Universiti Malaya (UM) terhadap pelajarnya untuk menghadiri program pidato Anwar '40 tahun dari UM ke penjara' malam ini.

MP Pandan itu berkata UM harus fokus kepada meningkatkan kedudukan universiti dan bukannya mencemarkan dan menjatuhkan imej mereka sendiri.

Rafizi menegaskan beliau dan Anwar akan tetap berada di kampus itu malam ini dalam majlis alumni dan menyampaikan pidato.

Beliau berkata keputusan 'mengepung' UM tidak mengejutkan kerana taktik ini digunakan sebelum ini kerajaan  dan pihak polis yang bukan sahaja mengepung UM tetapi mereka pernah mengepung Kuala Lumpur.

"Sebagai contoh jika berlakunya seperti  BERSIH, kita tetap turun. (Jadi) Kita akan tetap berada di UM malam ini," katanya yang jga setiausaha agung PKR.