Kerajaan sedang menyediakan kertas putih untuk menjelaskan kepada rakyat tentang ancaman keganasan yang melibatkan rakyat Malaysia dalam masa terdekat ini.

Ini termasuk statistik kira-kira 39 rakyat Malaysia dikesan menyertai kumpulan militan Negara Islam(IS) setakat ini, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam jawapan bertulis kepada Dr Ko Chun Seng (DAP-Kampar), beliau berkata polis sehingga kini 167 rakyat Malaysia lain turut dikesan terlibat dalam kegiatan militan di luar negara sejak Disember 2011.

"Kerajaan menerusi Jabatan Imigresen boleh menyenarai Hitam mereka yang disyaki terlibat dalam kegiatan militan ini dengan memasukkan mereka ke dalam 'Senarai Syak Jabatan Imigresen' bagi mengesan pergerakan mereka di pintu masuk utama negara ini," kata beliau.

Bagaimanapun beliau menyatakan tidak boleh mendedahkan lebih lanjut mengenai mereka yang terlibat dengan IS kerana ia boleh menjejaskan siasatan polis.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak pernah mengiktiraf mana-mana kumpulan yang mempunyai elemen militan atau individu yang terlibat aktiviti seperti itu.

"Bahkan sekiranya terbukti bahawa mereka terlibat dalam mana-mana aktiviti berbentuk militan tindakan tegas akan diambil di bawah undang-undang sedia ada termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 dan Akta Pencerahan Penggubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001," kata beliau.