Penganjur acara Eksotikata tidak tersinggung dengan kata-kata Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang tidak berminat menyalurkan sebarang dana untuk menjayakan program pesta buku independen itu.

Jurucakap Eksotikata, Azalan Hussein berkata mereka tidak mengharapkan dana dari kerajaan, namun berbesar hati sekiranya ada pihak yang sanggup menyalurkan dana untuk acara puisi tahunan itu.

Malah mereka bersikap terbuka sekiranya pemimpin dari Pakatan Rakyat sanggup menyalurkan dana untuk menjayakan program tersebut.

Jelasnya, mereka pernah menerima peruntukan dari perdana menteri untuk menjayakan program berkenaan sebelum ini.

“Kita terima saja dana dari mana-mana pihak, kerana acara ini bukan acara politik," katanya.

“Ya, saya setuju dengan (Khairy), untuk acara seperti ini memang kami harus cari dana sendiri tapi kalau ada yang nak beri, kami terima.

 

“Beberapa tahun lepas kita terima peruntukan dari perdana menteri untuk acara buku sebelum ini, kalau Anwar Ibrahim mahu taja, kita terima juga,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Menurut Azalan, peruntukan dari perdana menteri merujuk kepada satu acara lain anjurannya dengan konsep sama seperti Eksotikata pada dua tahun lalu.

Beliau mengulas kenyataan Khairy di Twitter semalam, menasihatkan penganjur agar tidak memohon dana dari kerajaan untuk mengekalkan kebebasan mereka.

“Harap Eksotikata kekal indie (bebas) merangkap hipster. Minta duit dari kerajaan adalah kerja mainstream (sastera arus perdana),” tegas Khairy.

Tulisan Khairy itu bagi menjawab keluhan seorang lagi penganjur Eksotikata, Mutalib Uthman, yang mendakwa menteri tersebut hanya muncul untuk meraih publisiti dalam acaranya tahun lalu.

Mutalib, yang juga seorang penulis indie dalam tulisan di Twitter rasmi Eksotikata semalam turut kecewa kerana menteri itu tidak berminat untuk menyalurkan dana.

“Kau bayangkan, untuk buat acara puisi, kena kumpul duit sendiri. Kemudian, apabila acara berlangsung, menteri belia (dan sukan) datang. Kemudian akhbar buat liputan.

“Masa nak buat, sedikit pun (dana) anda tak bagi. Dah siap, (anda) hendak ambil alih acara orang,” tulisnya di Twitter.

Mutalib berharap agar dana sebanyak RM15,000 tersebut akan dapat menampung kos penganjuran tersebut, antara lainnya untuk membayar sewa tapak, dan juga bayaran untuk sistem alat bunyi serta artis yang membuat persembahan.

“Kalau kerajaan tak beri duit, tak apa. Apalah guna kami ada pengikut (Twitter) sampai 2,000 orang lebih. Inilah masanya kita saling tolong-menolong.

“Okeylah, sebab macam tak dapat je, RM15,000 tu, kita buat cara lain,” katanya lagi.

Selain jualan buku, produk kesenian dan makanan acara tahun ini juga akan membariskan seperti Ana Raffali, Fazleena and the Lasykar, Iqbal M, Loque Monoloque dan Pekin Ibrahim.

Antara para penerbit yang akan mengetengahkan buku di 25 gerai di acara tersebut ialah Buku Fixi, Lejen Press, Merpati Jingga, Dubook Press dan Terfaktab.

 

Menurut penganjur, acara Akostikata akan berlangsung pada Sabtu ini, bermula jam 11 pagi hingga 11 malam.