Kecoh lagi bila penyokong baling telur
Keadaan tenang di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya menjadi kecoh sekali lagi petang ini apabila kira-kira 15 orang dipercayai penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim secara tiba-tiba cuba merempuh pagar penghadang.
Mereka kelihatan membaling telur ke arah anggota polis yang bertugas.
Kejadian jam 2.25 petang itu terjadi ketika ramai penyokong sedang duduk sambil melihat persembahan nyanyian oleh kumpulan aktivis.
Kumpulan penyokong tersebut membaling beberapa biji telur yang terkena seorang anggota polis dan dua jurufoto yang berada dekat situ.
Salah seorang daripadanya ialah jurufoto NST, Mohamad Shahril Badri Saali.
Selepas itu, mereka cuba merempuh pagar penghadang tetapi ia berjaya dihalang oleh anggota polis.
Bagaimanapun keadaan kembali terkawal selepas kumpulan tersebut dileraikan oleh beberapa penyokong lain yang berada berhampiran mereka.

