Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihatkan penyokongnya agar tidak melakukan sebarang provokasi semasa berhimpun di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya.

Selain itu, Anwar turut meminta supaya penyokongnya mengikut arahan yang diberikan oleh mana-mana pemimpin sekiranya berlaku sebarang masalah.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menasihatkan penyokongnya supaya tidak bergaduh sesama sendiri.

"Saya harap kawal sikit. Jangan ada provokasi. Harap ikut arahan ketua sebab masalah kita bukan dengan polis.

"Saya minta kawan-kawan, kalau ada masalah, saya minta supaya ketua berunding segera biar selesai  dengan baik. Kita jangan lupa ada kumpulan yang lakukan provokasi. Kita jangan layan.

"Boleh kalau nak jerit tapi kena jaga supaya jangan ada provokasi. Saya tak setuju ada ketegangan sesama kita," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di perkarangan Istana Kehakiman untuk bertemu dengan penyokongnya selepas selesai pendengaran hari kedua rayuan kes liwat II hari ini.

Semalam, kekecohan berlaku apabila terdapat penyokong Anwar membakar baju-T yang mempunyai gambar pengadu kes liwat II Saiful Bukhari Azlan serta cuba merempuh pagar penghadang.

Pagi tadi pula, kekecohan tercetus apabila penyokong Anwar cuba merempuh pagar penghadang yang dipasang bagi menghalang orang awam daripada memasuki Istana Kehakiman.

Petang ini pula, satu lagi kekecohan berlaku apabila terdapat kumpulan penyokong Anwar sekali lagi cuba merempuh pagar penghadang dan membaling telur ke arah anggota polis.

Lihat Komen
ADS