Politik wang: Exco Kedah digesa letak jawatan
Anggota majlis mesyuarat kerajaan (exco) Kedah Datuk Zainol Md Isa diminta melepaskan jawatan awamnya selepas Umno melucutkan jawatan ketua bahagian Baling yang dimenanginya baru-baru ini apabila terbukti mengamalkan politik wang.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Nasional Kedah, Saifuddin Nasution, berkata Menteri Besar Kedah Datuk Seri Syed Razak Syed Zain harus mendesak Zainol berbuat demikian segera.
"Mengekalkan Zainol sebagai exco negeri sekadar membuktikan Umno tidak serius untuk membasmi amalan rasuah dan politik wang," kata Saifuddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lunas.
Katanya, rakyat negeri itu "berasa malu" kerana seorang pemimpin negeri yang dijatuhkan hukuman rasuah oleh Umno masih dibenarkan memegang jawatan awam.
Sabtu lalu, Lembaga Disiplin Umno mengumumkan enam pemimpin parti itu, termasuk tiga ketua bahagian, bersalah terbabit dengan politik wang dalam pemilihan bahagian baru-baru ini. Mereka dihukum sama ada digantung hak-hak bertanding atau dilantik sebarang jawatan dalam parti selama enam tahun dan hilang hak mengundi pada pemilihan parti di semua peringkat sepanjang tempoh itu.
Zainol yang sebelum itu sebagai Timbalan Ketua Bahagian menerima 112 pencalonan daripada 150 cawangan. Beliau mengalahkan penyandang Datuk Raja Ariffin Raja Sulaiman dengan jumlah 262 undi, iaitu majoriti sebanyak 107.
Saifuddin berkata Keadilan menyeru Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar itu agar tidak berlengah-lengah lagi.
"Jika Zainol masih mempunyai harga diri, beliau patut segera melepaskan jawatannya sebagai Adun Bayu (Kedah) supaya rakyat di kawasan itu dapat memilih parti dan pemimpin yang lebih bersih," katanya lagi, yang memenangi kerusi Lunas dalam pilihanraya kecil November tahun lalu.
Sementara itu Menteri Besar Kedah Syed Razak hari ini berkata Zainol tidak akan diminta meletakkan jawatannya sebagai exco kerajaan negerinya.
Mengabui mata rakyat
Bagaimanapun, beliau berkata kedudukan Zainol "akan dinilai semula dan bergantung kepada keadaan."
Tambah Syed Razak lagi, exco itu juga tidak akan diminta mengambil cuti sementara menunggu rayuannya kepada Lembaga Disiplin Umno.
Kata Saifuddin, yang juga bekas Penolong Setiausaha Pemuda Umno, dalam pemilihan Umno tahun 1996, beberapa calon untuk Majlis Tertinggi hilang kelayakan mereka kerana disabitkan dengan amalan politik wang.
Menurutnya lagi, mereka termasuklah Datuk Salamon Selamat yang kini menyandang Ketua Umno Shah Alam, Datuk Abdul Latif Mirasa (Bagan), Adam Hamid (Senai) serta Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), yang juga dilantik Timbalan Menteri Sumber Manusia sekarang.
"Umno cuba mengabui mata rakyat bahawa mereka serius untuk menghapuskan politik wang sedangkan mereka yang pernah didakwa (dengan amalan buruk itu) masih memegang jawatan ketua bahagian dan juga dinaikkan jawatan hingga kepada timbalan menteri," kata Saifuddin.
Katanya, pada tahun itu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad turut mempertikaikan sumber kewangan calon-calon itu berkempen memandangkan pendapatan mereka sederhana sahaja. Kenyataan Presiden Umno itu masih relevan pada masalah hari ini, tambahnya.
"Jika mereka (yang mengamalkan politik wang) masih memegang jawatan kerajaan, ini bermakna kredibiliti kerajaan akan terjejas," hujah Saifuddin.
Amalan buruk pemimpin Umno itu akan berjangkit pula ke dalam pentadbiran kerajaan apabila mereka menyandang jawatan kerajaan.
"Apakah jaminan mereka tidak akan mengamalkan rasuah apabila menjadi pegawai kerajaan?" tanya Saifuddin.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.