Isu Kidex: Noh dakwa Azmin 'ketua' hipokrit
Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar mendakwa Menteri Besar Selangor Azmin Ali menjadi 'ketua' segala hipokrit susulan keputusan meneruskan projek Lebuh Raya Kinrara-Damansara (Kidex).
Noh berkata timbalan presiden PKR itu kini mula menunjukkan sikap sebenarnya dan melupakan hasrat menjadi pemimpin berjiwa rakyat, lapor Astro Awani hari ini.
"Saya percaya, apa yang dibuatnya selama ini 'cakap tidak serupa bikin'. Azmin mula menayangkan belang sebenar dan ia bermotif kepentingan peribadi.
"Ini hipokrit namanya, Memang ini sikap setiap lapisan pemimpin Pakatan Rakyat (PR) dan Azmin menjadi ketua kepada semua hipokrit di sana," katanya seperti dilapor portal berita itu.
Noh berkata demikian bagi merujuk keputusan Azmin untuk meneruskan perjanjian Kidex yang menjadi antara alasan Tan Sri Khalid Ibrahim patut ditukar.
Dalam laporan Astro Awani itu juga menyebut, Noh turut mendesak pemimpin Pakatan Rakyat lain menyatakan pendirian mereka berhubung isu itu.
Astro Awani juga menyebut tindakan Azmin itu turut disokong MP DAP dari Petaling Jaya Utara, Tony Pua melalui laman twitternya.
"Kita hendak tengok adakah Kidex itu perjuangan rakyat atau perjuangan peribadi PR secara keseluruhannya.
"Senang sahaja, jika mereka menyokong Azmin, ini terbukti selama ini pemimpin PR ini memang sengaja mencari alasan untuk menukar Abdul Khalid," kata Noh dipetik.

