Menteri Datuk Seri Nazri Aziz berkata tuntutan melampau ke atas pengeluar air mineral yang memaparkan imej dewa Hindu di label produk mereka tidak sepatutnya dilayan.

Katanya semua pihak mengekalkan kewarasan mereka, walau Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membuat laporan polis agar pengusaha berkenaan disiasat.

“Saya tidak tahu jika kumpulan ini mahu gantung pengurus (syarikat terbabit). Saya tidak tahulah,” kata menteri pelancongan itu yang turut ketawa apabila diminta mengulas mengenai aduan PPIM itu.

Bagaimanapun, kerajaan akan menarik balik botol yang menonjolkan imej tersebut dan meminda logo halal di botol terbabit.

"Kita semua mesti waras. Kita tarik balik (label tersebut), itu saja.

"Kita negara dengan rakyat yang waras. Seluruh negara ini bukan hospital sakit jiwa dengan buat bising di sana sini.

"Anda nyatakan rasa tidak puas hati, cukuplah, kami ambil tindakan, kami tarik balik,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Katanya, pengusaha yang mengeluarkan label berkenaan tidak mempunyai niat yang tidak baik melalui tindakan itu.

“Tiada niat langsung untuk menghina Islam. Ia dibuat untuk mempromosi pelancongan di negara ini... Tentulah, ada banyak tempat menarik yang juga tempat keagamaan,” katanya.

PPIM dalam aduan pada polis semalam mendakwa cetakan imej dewa Hindu, Dewa Muruga di sebelah logo halal di label berkenaan merupakan perbuatan “menghasut” dan “tidak sensitif” dengan orang Islam.

Patung dewa berkenaan merupakan tarikan utama di kompleks rumah ibadat Hindu di Batu Caves, yang didirikan menjelang kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada 2010 sempena sambutan Thaipusam.

[Baca berita penuh]