Lebih 100 berhimpun, kes UM8 tangguh
Pendengaran tatatertib terhadap lapan mahasiswa Univerisiti Malaya (UM) yang dituduh mengadakan perhimpunan haram di kampus itu telah ditangguhkan.
Penangguhan itu dibuat sewaktu lebih 100 mahasiswa berhimpun memberi sokongan kepada lapan mahasiswa terbabit sejak 9 pagi.
Tiga daripada lapan siswa yang dikenali sebagai UM8 telah memohon tempoh penangguhan selama 14 hari manakala lima lagi mahu kes mereka didengari hari ini.
Bagaimanapun, salah seorang siswa, Safwan Shamsuddin, berkata ada di kalangan mereka kecewa dengan tindakan universiti membuat penangguhan pendengaran semua daripada mereka, dengan menyifatkannya sebagai "tidak profesional".
"UM memutuskan untuk mengabaikan permintaan lima lagi siswa dan mahu untuk menangguh pendengaran pada 18 November," kata Safwan dengan nada marah.
Selain Safwan, Presiden Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) Fahmi Zainol dan Presiden Mahasiswa Islam Univerisiti Malaya Khairol Najib Hashim yang memohon penangguhan dibuat.
Sementara itu, Ketua Unit Media dan Perhubungan Korporat UM Izzad Zalman Abd Kader berkata keputusan menangguhkan pendengaran itu dibuat kerana panel berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh mahasiswa.
Terpulang untuk terima atau tak
Katanya, keputusan rasmi dibuat dan terpulang kepada mahasiswa untuk menerimanya ataupun tidak, dan sementara butiran lain berkaitan prosiding akan dimaklumkan terus kepada pelajar.
Sebelum itu, lebih 100 siswa UM berhimpun seawal jam 9 pagi ini bagi menyatakan solidariti bersama lapan rakan mereka itu.
Kumpulan siswa berkenaan sebelum itu berarak dari perhentian bas utama, UM Sentral ke Kompleks Perdanasiswa dengan memakai riben berwarna biru.
Mereka berdepan dengan tindakan disingkir daripada universiti kerana menyertai perhimpunan yang dianggap haram bersama ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, 27 Oktober lalu.
Tujuh individu – empat orang ahli akademik dan tiga orang siswa – mewakili tujuh daripada siswa berkenaan, manakala seorang lagi, Abraham Au, mewakili dirinya sendiri hari ini.
Kumpulan 210 orang alumni, ahli akademik dan individu prihatin menggesa UM menggugurkan kesemua tuduhan ke atas siswa berkenaan dan menghormati kebebasan asasi dan akademik.

