Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Polemik ‘pluralisme agama’ kembali mengambil ruang utama diskusi awam. Kali ini pastinya lebih sengit dan ganas. Sebabnya? Kali ini sebuah NGO, Sisters in Islam (SIS) telah mencabar fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Lebih menarik kerana sekumpulan ahli Parlimen PAS masuk gelanggang wacana ini seawal mulanya. Ahli-ahli yang berhormat PAS ini tegasn mengingatkan MAIS supaya jangan drastik membuat ‘fatwa’ khasnya yang menghukum orang persendirian atau organisasi sebagai ‘sesat dan menyeleweng’ daripada agama Islam. Umum tidak memahami dan masih kebingungan apa itu pluralisme agama.

Justeru kerana istilah dan konsep pluralisme agama ini rumit, ilmiah dan tidak mudah untuk ditanggapi golongan awam, maka ia sangat memerlukan penelitian dan pencerahan.

(Sengaja tidak saya tambah perbahasan fahaman liberalisme dalam penulisan kali ini).

Sangat malang kalau ia disilap faham. Lebih malang lagi kalau ia secara mudah-mudah digunakan sebagai satu senjata atau bogeyman untuk menjatuhkan lawan dengan menghukum mereka sebagai pengamal atau memiliki unsur-unsur fahaman pluralisme agama.

Tidak perlu penulis bariskan mereka yang turut jadi mangsa serangan ini. Penulis juga salah seorang mangsa kegiatan ini. Amat pelik kerana serangan datang dari dalam partinya sendiri.

Untuk ingatan umum, bukan sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim dikecam kerana dikatakan menyebarkan fahaman pluralisme agama, malah Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga tidak terlepas daripada kritikan kerana menghadiri acara rasmi di kuil Buddha di Kelantan.

Melengkapkan contoh, sebuah forum ilmuwan Islam sedikit waktu dahulu, mengingatkan semua pemimpin Muslim, termasuk Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, supaya tidak menghadiri majlis perayaan agama lain, dengan alasan ia menjejaskan Akidah.

Jom cuba kita fahami perkara yang 'fundamental' dahulu. Saya akan cuba memudahkan wacana ini.

Pertikaian semantik

Benar, pluralisme agama bukanlah satu istilah yang hanya bermaksud ‘kepelbagaian agama’ atau disebut sebagai religious pluralism . Konsep ini tidak hanya sekadar meraikan wujudnya pelbagai agama dalam laluan sejarah pengalaman tamadun manusia. Pertikaian bukan hanya bersifat semantik.

Meneliti perkembangan fahaman ini, kita akan menemui hakikat bahawa pluralisme agama adalah sebuah ‘isme’, sebuah ‘‘ideologi’ dan sebuah falsafah yang mendalam dan mempunyai pelbagai doktrin, epistemologi dan ‘naratif’ tersendiri serta implikasi kefahaman ke atas ‘penganutnya’.

Sesuai dengan kedudukannya sebagai sebuah ‘isme’ atau ideologi yang punya asas falsafahnya, pluralisme agama telah tampil dalam sejarah persis satu ‘agama baru’ dan mempunyai ‘prophet’ atau ‘ahli-ahli falsafah’ mereka seperti Ernst Troeltsch (1865-19230), Arnold Toynbee (1889-1975), Wilfred Carnwell Smith (1916-2000). Antara ahli falsafah kontemporarinya ialah Prof John Harwood Hick yang baru meninggal (1922-2012).

Secara mudah dan tegasnya, mengikut fahaman mereka ‘semua agama adalah sama, sekali gus menafikan hak dan tuntutan setiap agama akan kebenaran hakiki agama mereka, sehingga meletakkan semua agama sifatnya nisbi (relatif), tidak sempurna, terbatas dan merupakan satu sisi pandang terhadap Kebenaran Agung.

( All religions are equal, simultaneously denouncing and undermining the claim to absolute truth of all religions on the world stage. It has 'relativised' all truth claims and has equated all religions to be essentially and relatively the same limited, partial and incomplete, one way of looking at something. )

Lantas pluralisme agama mengisytiharkan ‘persamaan agama’ dan ‘semua agama sebagai jalan-jalan kepada kemuncak yang sama.( All the paths lead to the summit – John Hick).

Inilah doktrin utama yang ‘fundamental’ serta ‘cardinal’ dalam fahaman pluralisme agama. Nah, di sini letak tunggak pemikiran ‘persamaan agama’ John Hick yang mengiktiraf bahawa dakwaan semua agama ada sama.

Sesungguhnya, ‘persamaan agama’ lantas ‘pluralisme agama’ pada hakikatnya dan mengikut pandangan ahli agama adalah falsafah yang sebenar-benarnya ‘merosakkan dan mendobrak agama itu sendiri’!

Di saat ini, saya tampilkan penegasan kedudukan Islam dan implikasinya dalam isu yang dipolemikkan ini.

Sesungguhnya Islam bukan sahaja mengisytiharkan penerimaan akan kewujudan pelbagai agama tetapi ‘mengiktiraf dan meraikan’ ‘perbezaan agama’ tanpa ‘mengurangkan’ dan menafikan hak mereka kepada dakwaan eksklusif mereka meskipun bertentangan dengan ajaran dan prinsip Islam.

( Islam recognises 'religious plurality' and accords respect for all religions as 'fully others' without reduction, relativisation and deconstruction. )

Toleransi Islam

Pengiktirafan ‘perbezaan agama’ itu lantas menampilkan sikap ‘tasamuh’ (toleransi) Islam serta bersedia mengizinkan penganut agama lain tertakluk kepada hukum dan prinsip undang-undang agama mereka.

( Islam acknowledges the 'plurality' of religion and allows the adherents of all religions the plurality of laws to govern their lives within the aegis of their religious belief and precepts.)

Sesungguhnya Islam mengiktiraf ‘religious plurality’ dan bukan ‘religious pluralism’ sebagai satu ‘sunnahtullah’ dalam kejadian seluruh mahkluk Allah SWT. Secara umum hakikat itu termaktub dan tersimpul dalam firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Kami telah mengutus pada setiap umat seorang rasul dengan perintah: Sembahlah Allah dan jauhilah taghut (yang selain dari Allah). Maka di kalangan mereka ada yang diberi hidayah dan ada yang berhak ditimpa kesesatan… (Al-Nahl:36).

Sekali lagi pengiktirafan ‘pluraliti agama’ ini tersirat secara lebih tegas dalam firman Allah dalam Surah Al-Maidah: 48.

Ayat ini sangat jelas maksudnya dan tidak perlu ditafsirkan lagi.

“Sekiranya Allah menghendaki nescaya Dia jadikan kamu satu (yang bersatu dalam agama yang satu), tetapi Dia hendak menguji kamu (dalam menjalankan) apa yang telah disampaikan kepada kamu.”

Lebih jelas lagi adalah pengisytiharan yang Allah SWT abadikan dalam surah Al-Kaafirun (109:6).

Penegasan itu dinyatakan melalui ayat “ lakum diinukum waliyadiin (untuk kamu agamamu dan untuk kami agama kami”.

Bukan terima agama lain

Pengisytiharan perbezaan agama sangat jelas terpapar dalam ayat ini bagi memperkukuhkan fahaman “religious plurality” yang ‘bukan dan tidak’ bermaksud menerima pula segala kepercayaan agama lain. Ini sangat penting!

Bagi umat Islam, pastinya keyakinan dan iktikad kita bahawa Islam adalah agama yang benar di sisi Allah seperti ditegaskan:

“Sesungguhnya, agama cara hidup di sisi ialah Islam.” (Ali Imran:19).

Namun umat Islam wajar diingatkan bahawa begitu juga keyakinan dari sisi pandang penganut agama lain sama ada yang bersifat agama samawi (langit) atau pun bukan Samawi.

Dari sisi pandang mereka, agama merekalah yang benar dan betul. Masakan mereka akan menganut agama tersebut kalau mereka percaya bahawa Islamlah agama yang paling benar.

Mengungkap apa yang disebut oleh Thomas Lee ( MYSinchew.com ) bahawa setiap penganut agama Kristian menyakini dan mendakwa agama mereka sebagai penyelamat manusia dan tidak ada penyelamat lain selain melalui al-Masih Isa, seperti ditegaskan dalam Bible:

“Lord Jesus Christ is the 'the way, the truth, and the life' and "no one comes to the Father (God) except through me (Jesus).” (John 14:6).

Dalam menggarap pertikaian ‘puraliti agama atau kepelbagaian perbezaan agama’, Islam tidak pula merumuskan dan mendamaikan perbezaan ini dengan menyamakan semua tuntutan kebenaran agama.

Penegasannya adalah untuk mengizinkan semua agama membuat dakwaan dan tuntutan mereka masing-masing dan tidak perlu dinisbah, dikurangkan atau dirungkaikan ( deconstruction ) kerana tidak diizinkan menyamakan agama sama sekali.

Maka bertolak dan bertitik punca dari pemahaman konsep ini, wacana di ruang umum tidak lagi wajar berkisar tentang agama siapa atau yang mana yang lebih ‘superior’ dan penganut agama mana dan siapa yang akan ke syurga dan siapa pula yang disumbat ke neraka.

Isu teologi yang sangat emotif itu wajar dikekang dan dihadkan dalam ruang iktikad dan keyakinan serta pencerahan penganut masing-masing.

Akidah terbit dari kerelaan

Meneruskan debat antara agama ke garis teologi yang mendalam itu pasti akan mencetuskan satu pertentangan dan perang besar. Ia pasti akan bersifat ‘kalah-menang’ atau ‘zero-sum’, dan pastinya agresif, dan ‘destruktif’.

Sebaliknya dialog dan wacana yang wajar adalah berganjak kepada satu garis dan paradigma yang lebih bersifat konstruktif dan positif dalam menentukan sumbangan agama masing-masing dalam membangunkan kemuliaan kehidupan, kemakmuran negara dan kesejahteraan rakyat. Itulah wacana dan agenda yang harus menjadi tawaran yang dipelopori oleh pendukung “political Islam”.

Advokasi inilah yang mesti digarap dengan pendekatan yang persuasive , inklusif, ‘ prudent -bijak’ serta ditala dalam ‘konteks’ demografi serta kerencaman realiti politik negara masing-masing.

Demi keharmonian perhubungan antara agama maka wacana ‘pluraliti agama’ memperkukuhkan sendi-sendi pembinaan kembali negara. Sekali gus ia memaknakan erti kedamaian perhubungan antara agama dan peranan agama secara positif dan langsung dalam kehidupan serta tata-kelola bermasyarakat dan bernegara.

Tentunya ia mampu menangkis sifat pegangan sempit serta melampau. Ia memaparkan sifat “wasatiyyah” atau kesederhanaan yang sebenarnya dalam Islam.

Kembali kepada tajuk asal kita, maka adalah sangat wajar bagi pihak MAIS dan badan-badan seumpamanya, dalam pendekatan dan semangat dakwah Islamiah untuk mewujudkan keterlibatan dengan mana-mana badan yang dikesani atau didakwa telah ‘menyimpang’ dari anutan Islam yang sebenarnya.

Cara dialog atau hiwar dan wacana adalah jalan terbaik dalam menyelesaikan isu-isu pemikiran dan keyakinan agar benar-benar pemurnian pegangan akidah umat dapat diperkukuhkan.

Bukankah anutan akidah dan amalan Islam itu mesti terbit dari kerelaan dan keredaan dan bukan paksaan dan tekanan?


DR DZULKEFLY AHMAD, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan PAS.

Lihat Komen
ADS