SIS pertikai gesaan 'apa jua cara' menteri
Sister in Islam (SIS) menyatakan kebimbangannya terhadap reaksi menteri agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom berhubung kes-kes terkini melibatkan badan agama negara.
SIS membangkitkan persoalan berhubung kenyataan Jamil bahawa “ajaran Islam itu sendiri perlu dipertahankan dengan apa jua cara”.
“Adakah ini bermaksud membenarkan sesiapa sahaja mengambil tindakan di tangan sendiri terhadap apa yang dilihat menteri itu sebagai tidak islamik, termasuk keganasan?
“Adakah ini bermaksud seseorang patut menyerang orang lain secara fizikal, dan negara tidak akan mengambil tindakan pada mereka?” soal SIS.
Jamil ( atas ) semalam dalam kenyataannya menyentuh dua kes mahkamah terkini melibatkan kemenangan golongan transgender dan tindakan SIS mencabar fatwa menyesatkannya, yang dikaitkan dengan liberalisme dan pluralisme.
Menyentuh keputusan Mahkamah Rayuan bahawa peruntukan melarang lelaki Islam berpakaian wanita bercanggah dengan perlembagaan, Jamil berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan memohon mencelah kes itu.
Katanya, rayuan itu amat penting sebagai usaha menentukan bidang penguatkuasaan pihak berkuasa agama negeri, serta “ajaran Islam itu sendiri perlu dipertahankan dengan apa jua cara”.
Kenapa anggap cabar Islam?
Tindakan SIS mencabar fatwa menyesatkannya itu pula disifatkan sebagai cubaan mengheret institusi Islam untuk dibicarakan di mahkamah sivil.
Dalam kenyataannya hari ini, SIS mengingatkan bahawa Malaysia sebuah negara demokratik dan bukan negara teokratik yang mengamalkan pemerintahan kuku besi.
Malah, kata NGO kontroversi itu, perlembagaan persekutuan menjamin kebebasan hak asasi setiap rakyat.
“Kedaulatan undang-undang terpakai kepada semua orang, dan semua orang mempunyai hak untuk membawanya ke mahkamah jika dirasa dilayan secara tidak adil," kata NGO hak wanita itu,
Selain itu, SIS juga menyatakan rasa hairannya kerana tindakan mereka memfailkan semakan kehakiman di mahkamah – berhubung fatwa negatif terhadapnya – dianggap mencabar agama Islam.
"Kami hairan kenapa semuanya mesti dianggap sebagai mencabar Islam,” soal NGO itu lagi.
“Mungkin lebih tepat lagi ini adalah cabaran kepada pentadbiran yang tidak adil dan tidak cekap berkaitan undang-undang syariah di negara ini, undang-undang yang dirangka manusia dan oleh itu tidak terlepas daripada salah dan silap?”

