Prosiding disiplin terhadap peguam terkenal Cecil Abraham bersambung minggu ini ekoran dakwaan salah laku profesional, selepas peguam kanan Americk Sidhu difahamkan selesai memberi keterangan.

Sumber yang mengetahui perjalanan inkuiri itu memberitahu, Americk memberikan keterangan di hadapan tiga panel Lembaga Disiplin Peguam Bela dan Peguam Cara pada 29 Oktober, ketika kes rayuan kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim berlangsung.

Lembaga itu sudah mendengar keterangan daripada Americk dan seorang lagi saksi utama yang juga seorang peguam kanan.

Saksi kedua itu dituduh didekati beberapa orang kenamaan untuk mendraf akuan berkanun (SD) kedua mendiang P Balasubramaniam berkaitan kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Peguam itu, yang identitinya masih dirahsiakan, memberi keterangan pada 1 Oktober.

Cecil disiasat bawah Seksyen 94 Akta Akta Profesion Undang-undang 1976.

Lembaga yang menyiasatnya mempunyai kuasa menyingkirkan atau menggantung seseorang atas kesalahan salah laku.

Pendengaran itu, yang dijalankan secara tertutup akan bersambung pada Sabtu dan beberapa saksi lagi telah disepina untuk hadir.

Difahamkan bahawa saudagar permaidani Deepak Jaikishian antara yang dipanggil sebagai saksi.

Bagaimanapun, tidak pasti sama ada beliau akan memberikan keterangan dalam prosiding minggu ini.

[Baca berita asal]