Bung mahu teroka prospek jagung di Aceh
FELCRA Berhad kini sedang menerokai peluang menceburi bidang penanaman jagung di Aceh dengan sasaran pengeluaran sehingga 7,272 tan pada 2015.
Pengerusinya Datuk Bung Mokhtar Radin menyatakan persetujuan itu setelah mendengar pembentangan ketua daerah Bireuen, Aceh Roslan M Daud.
Bung ( kanan ) berkata FELCRA menyambut baik peluang itu kerana kerana pengalamannya yang luas dalam perladangan dan prospek pelaburan yang baik.
“Pihak FELCRA juga berminat untuk memproses makanan ternakan dan membangunkan tanah masyarakat di Aceh menerusi tanaman jagung,” ujarnya.
Sementara itu, Roslan dalam pertemuannya dengan Bung sebelum itu berkata, FELCRA patut mengambil peluang itu memandangkan kos tenaga kerja yang murah di wilayah itu.
Selain itu, Aceh juga mempunyai kelebihan daripada segi kesuburan tanah dan jaraknya yang dekat dengan Malaysia.
Roslan mencadangkan perladangan berskala besar tanaman kontan melibatkan kawasan seluas 29,000 hektar.

