Seorang pegawai Cawangan Khas (SB) Bukit Aman yang bertanggungjawab bagi memintas komunikasi pada individu yang disasarkan, tidak tahu seorang daripada sasarannya itu terlibat dalam rundingan di antara polis dan para penceroboh Sulu di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada Februari tahun lepas.

Supt Anuar Ahmad, 50, memberi keterangan itu dalam perbicaraan ke atas 30 individu yang dituduh atas pelbagai kesalahan berkaitan pencerobohan itu.

Beliau memberitahu Mahkamah Tinggi di Kota Kinabalu hari ini bahawa pada 15 Feb tahun lepas, timbalan ketua SB Sabah ketika itu SAC Zulkifli Abd Aziz memberikannya lima nombor kepunyaan seorang yang bernama Datu Amir Bahar Hushin Kiram bagi memintas komunikasi kerana individu itu dipercayai mempunyai kaitan dengan pencerobohan itu.

Menjawab soalan peguam Datuk N. Sivananthan semasa pemeriksaan balas, saksi itu berkata beliau tidak tahu bahawa Datu Amir Bahar, seorang daripada tertuduh dalam perbicaraan itu, membantu polis bagi memujuk para penceroboh bersenjata itu supaya meninggalkan Kampung Tanduo pada hari beliau menerima nombor telefon daripada Zulkifli.

"Adakah anda bersetuju dengan saya bahawa transkrip (pemintasan komunikasi itu) menunjukkan Datu Amir Bahar dengan jelas menentang tindakan Datu Agbimuddin Kiram (pemimpin penceroboh bersenjata di Kampung Tanduo) dan orang-orangnya yang merupakan sebab Datu Amir Bahar bersetuju untuk membantu Zulkifli (dalam rundingan itu)" soal Sivananthan.

Anuar menjawab beliau tidak bersetuju memandangkan beliau dimaklumkan bahawa tertuduh terbabit dalam pencerobohan itu.

Menjawab soalan peguam Kamaruddin Mohamad Chinki, saksi itu berkata tindakan memintas komunikasi itu dijalankan ke atas semua 11 sasaran dalam kes itu menunjukkan setiap seorang terbabit dengan tentera Kesultanan Sulu.

Sementara itu, Anuar, yang bertugas dengan Seksyen Asean bagi Cawangan Khas, berkata di antara tugas beliau ialah untuk menganalisis faktor sosiopolitik di negara-negara Asean termasuk negara-negara jiran dalam usaha mengenal pasti potensi sesuatu ancaman terhadap Malaysia.

Beliau memberitahu mahkamah bahawa beliau juga menganalisis tuntutan ke atas Sabah dan sebab-sebab kenapa sesetengah pihak membuat tuntutan ke atas negeri itu.

Tiga puluh 30 tertuduh, terdiri daripada 27 rakyat Filipina dan tiga penduduk tempatan, sesetengahnya menghadapi beberapa tuduhan seperti menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas antara 12 Feb dan 10 April tahun lepas.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung esok.

- Bernama