Pemuda PAS desak ROS siasat BAIDURI
Pemuda PAS Perak mendesak Pendaftar Pertubuhan (ROS) menyiasat sumber kewangan dan aset Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI) kerana dewan itu meragui sumber kewangannya.
Ketua Pemuda PAS negeri Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob mendakwa badan yang didaftar atas nama Badan Amal dan Usaha Isteri-isteri Wakil Rakyat BN Perak itu didakwanya menerima kewangan daripada agensi kerajaan.
Malah, sejak kekalahan BN pada pilihan raya umum 2008, Raja Ahmad Iskandar berkata pihaknya pernah mendedahkan tindakan badan amal itu yang didakwanya memindahkan semua aset dan kewangannya kepada akaun lain.
"Kami mendesak ROS menyiasat kewangan BAIDURI yang disifatkan cubaan melakukan penipuan dan telah melakukan satu kesalahan berdasarkan undang-undang dalam negara kita.
"Ia jelas bertentangan dengan etika pertubuhan dan bagaimana BAIDURI boleh dibenarkan melakukan perkara tersebut?
"Seperkara yang penting juga, sudah berapa banyakkah agensi kerajaan telah menyalurkan sumbangan kewangan kepada BAIDURI sedangkan ianya menggunakan nama sebuah entiti parti politik yang memerintah?" katanya.
Dalam kenyataannya semalam Raja Ahmad berkata pihaknya akan terus mendesak ROS memantau, meneliti dan memastikan kewangan badan amal itu - yang dibaratkannya sebuah parti politik - diaudit.
"Kami percaya BAIDURI semasa Pakatan Rakyat dahulu telah meninggalkan semua dokumen dan kewangan mereka, tidak pula dilakukan semasa BN tumbang dahulu sehinggakan kewangan BAIDURI pun ‘dilarikan’ kerana takut dan bimbang kehilangan kuasa ketika itu," katanya.

