Peguam: Tubuh pejabat hutan khas Cameron
Kerajaan disaran supaya mengasingkan pentadbiran dan penguatkuasaan Pejabat Hutan Daerah Raub dan Cameron Highlands kepada dua badan bagi meningkatkan kecekapannya.
Pengamal undang-undang, Noor Hajran Mohd Noor berkata langkah ini wajar kerana meletakkan penguatkuasaan dua kawasan yang luas di bawah satu pejabat hanya akan mengurangkan keberkesanan penguatkuasaannya.
"Pejabat ini jaga daerah Raub dan Cameron Highlands, satu pejabat, jika mereka naik ke Cameron Highlands, berapa lama mereka akan turun semula. Jadi mungkin mereka tak pergi, mereka setakat memantau.
"Itu sebabnya penguatkuasaan itu lemah, sebab tak cukup orang," kata tetamu program 'Ruang Bicara' terbitan Bernama TV itu yang ditemui ketika rakaman program tersebut.
Banjir lumpur dan tanah runtuh yang berlaku di Kampung Raja, Pekan Ringlet dan Lembah Bertam di Cameron Highlands Rabu lalu meragut lima nyawa dan menyebabkan lebih 90 mangsa daripada 28 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan di Ringlet.
Selain itu, beliau turut menggesa pihak berkuasa supaya meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan bagi menangani masalah penerokaan tanah secara haram.
"Semua kawasan yang diterokai secara haram perlu di'seal' dengan segera dan ditanam dengan tumbuhan yang tidak mendatangkan hasil untuk mengelakkan masalah ini berterusan," katanya.
Sementara itu, seorang lagi tetamu program tersebut, Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Mohd Ridzuan Abdullah berkata para penjawat awam di kawasan Cameron Highlands perlu bertanggungjawab dalam menangani isu penerokaan tanah dan kebanjiran pekerja asing.
"Kita (IKHLAS) meminta semua ketua-ketua agensi kerajaan disiasat oleh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan minta kerajaan tukar semua ketua agensi supaya memberi laluan kepada pihak SPRM untuk membuat siasatan," katanya.
- Bernama

