Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Saya bertuah pada minggu lalu kerana berpeluang untuk menyuburkan budaya dialog dengan pelbagai aliran dan arus pemikiran.

Pada siang hari saya berdialog dengan Sisters In Islam (SIS), dan malamnya saya telah dijemput lebih awal oleh Arus Baru iaitu sayap media baru ISMA untuk berforum bersama dengan Prof Madya Dr Aznan Hasan selaku pengerusi Majlis Ulama ISMA.

 

Sebenarnya jadual asal ditunda atas sebab kesibukan saya, namun pada 6 November hasrat berforum dan bertemu dengan sahabat ISMA dapat dipenuhi.

 

Bertemu sahabat

 

Saya mengenali panelis ISMA Dr Aznan sebagai seorang sahabat semasa saya menuntut di Mesir. Kami sempat bersama dan oleh kerana beliau berasal dari Penaga, Pulau Pinang hubungan kami agak rapat sebagai rakan senegeri.

Malam itu saya ambil kesempatan selain berforum juga untuk beramah mesra dengan beliau menghilangkan rindu seorang sahabat.

Saya juga mengenali sebahagian besar yang hadir dalam forum ini kerana pernah bersama saya di Mesir walaupun kebanyakan mereka berpangkat lebih muda daripada saya.

Di Mesir, semasa saya menuntut di sana, saya mengadakan kelas Bahasa Arab semasa cuti musim panas bagi memenuhi permintaan adik-adik mahasiswa dan saya menerima ramai mahasiswa baru yang berdaftar dengan saya untuk memantapkan Bahasa Arab mereka.

 

Saya tidak menganggap diri saya asing walaupun majoriti yang hadir daripada kalangan anak-anak muda yang tidak tahu latar belakang saya, apatah lagi saya dilabel dengan pelbagai gelaran seperti liberal dan sebagainya.

Perbahasan

 

Tajuk yang dipilih memang dekat dengan saya iaitu “Masyarakat Sivil dan Kedudukan Islam di Malaysia”. Saya bahkan ada menyebut dalam ucapan perbahasan bajet saya tempoh hari betapa perlunya “masyarakat sivil” diperkasakan dan diberdayakan melalui dasar sokongan dan galakan oleh kerajaan.

 

Saya sebagai panelis pertama memulakan hujah dengan nilai akademik dari sudut konsep dan susur galur sejarah Barat dan menegaskan bahawa Islam lebih awal mengasaskan masyarakat Madinah yang mengamalkan semak-imbang kepada pimpinan di mana istilah Islam yang lebih tepat digunapakai iaitu “masyarakat madani”.

Dr Aznan juga menegaskan daripada takrifan yang dibawa bahawa masyarakat sivil bebas dari cengkaman pemerintah bagi melaksanakan tugas dengan lebih berkesan.  

 

Pusingan kedua berubah menjadi topik berasaskan isu dan di sini saya sudah menghidu keadaan akan jadi panas namun saya mengekalkan tempo “cool” supaya perbincangan lebih objektif dan tidak bersifat emosional.

 

Saya enggan komen tentang sebuah NGO khusus yang disebut ada agenda sebalik aktivitinya atas alasan NGO tersebut lebih berhak mempertahankan dirinya daripada komentar saya.

Namun saya menegaskan bahawa selagi NGO ini berligar atas perundangan negara yang sedia ada maka mereka berhak untuk beroperasi kecuali jika berlaku pelanggaran undang-undang.

 

Bagi saya inilah asas masyarakat sivil yang sejauhmanapun julat perbezaan pandangan sesama mereka akhirnya yang mengikat mereka adalah perundangan negara dan kesetiaan mereka kepada negara.

 

Panas

 

Dr Aznan memulakan pusingan seterusnya dengan membawa teori konspirasi berasaskan kepada perlunya kita lebih cerdik dalam menilai aktiviti sebahagian masyarakat sivil atau lebih khusus NGO-NGO tertentu yang ada agenda tersirat dan tanpa disedari menjadi alat kepada kepentingan musuh-musuh Islam.

 

Sahabat saya ini mendakwa bahawa sebahagian NGO-NGO ini mendapat biaya kewangan daripada pihak Barat bagi mencapai maksud perancangan halus mereka.

PAS juga mendapat turut menerima tempias kritikan apabila Dr Aznan mendakwa PAS sudah hilang taringnya menentang konspirasi ini apabila PAS kini sudah tidak lantang lagi seperti dulu yang kuat menentang agenda kelompok artikel 1, IFC, isu murtad dan lain-lain.

 

Beliau turut membidas SIS yang saya temui pada siangnya sebagai agenda merosakkan nama baik Islam. Ketika itu suasana panas kerana kebanyakan yang hadir adalah ahli ISMA yang agak teruja dengan hujah pemimpin mereka malah ada yang bersorak dan bertakbir.

 

Ketika itu saya berbisik kepada moderator supaya mengawal keadaan kerana salah satu syarat saya setuju hadir ialah perbincangan hendaklah dalam suasana harmoni. Moderator bertindak cemerlang dengan mengingatkan supaya mengawal diri sehingga tamat majlis dengan baik.

 

Meletakkan prinsip

 

Saya tidak meninggikan intonasi suara saya sepanjang berforum. Sebagai seorang yang sudah biasa berada dalam majlis yang saya “diserang”, saya mempunyai matlamat untuk menegaskan beberapa perkara antaranya ialah perlunya dialog sebagai wahana mencapai sebuah masyarakat sivil.

Saya memetik kata-kata Saidina Ali kepada kelompok Khawarij yang memberontak bahawa hak mereka dipelihara seperti solat di masjid, mendapat harta rampasan perang jika mereka mempertahankan Madinah dan mereka tidak akan diperangi kecuali mereka yang membunuh kaum muslimin dahulu.

 

Bagi saya inilah nilai demokrat yang cuba dihayati oleh Islam walaupun terhadap pemberontak yang nyata. Bagi saya masyarakat sivil perlu dilayan sebegitu.

 

Saya menegaskan pertemuan saya dengan SIS adalah lebih kepada membuka saluran dialog dan dakwah. Pada waktu yang sama, saya juga mahu supaya fatwa dibuat dengan jujur dan telus melalui muzakarah dan wacana.

 

Kedua, tujuan saya ialah mengasaskan prinsip bahawa masing-masing ada peranan dan saya sebagai ahli legislator harus memainkan peranan melihat soal asas perundangan dalam menilai sesuatu isu. Berbeza dengan NGO termasuk ISMA yang lebih selesa bergerak atas ruang yang berbeza.

Ia bukan pertembungan tetapi satu sinergi yang boleh dimanfaatkan bersama. Malah saya mencadangkan supaya NGO-NGO Islam bergabung dalam membuat penilaian terhadap sesuatu isu dan mencari titik persefahaman.

 

Ketiga isu-isu berkenaan LGBT, COMANGO dan lain-lain saya menegaskan bahawa perlu ada garis pemisah antara amalan mereka dan hak manusiawi mereka.

Saya sama sekali menolak amalan songsang ini dan menegaskannya beberapa kali bahawa amalan ini melanggar fitrah manusia namun saya tidak bersetuju kerana amalan ini mewajarkan kita menindas mereka dan hak manusiawi mereka tidak terlindung.

Saya juga bersetuju dengan sahabat saya yang menegaskan jika sabit mereka terlibat maka hendaklah didakwa dan biarlah keadilan perundangan menentukan hukumannya. Khalas.

 

Lambung dan lipat

 

Sesi soal jawab ini sebagaimana yang dijangkakan banyak tertumpu pada saya. Ia semacam disusun soalan “lambung” dan soalan “lipat” tentang ungkapan saya beberapa bulan sudah bahawa ISMA rasis, isu LGBT dan SIS serta mengapa saya bersama mereka.

Walaupun soalan itu soalan “lambung” tapi saya menyambutnya dengan berhati-hati dan bersedia untuk balas balik dalam sesi “lipat”. Saya mengakui dengan jujur bahawa pada pandangan saya dan mengamati sikap, nuansa-nuansa dan kenyataan para pemimpin ISMA saya mengatakan ia lebih teruk daripada PERKASA.

 

Alasan saya ialah pimpinan ISMA terdiri daripada ramai asatizah lulusan Timur Tengah yang berhujah dengan menggunakan ayat al-Quran dan hadith serta pandangan ulama-ulama tetapi ia bertujuan untuk mengukuhkan hujah Melayu-Islam dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang boleh menyebabkan kebencian antara agama dan kaum di negara ini.

Ya, saya mengakui saya berpendapat demikian namun oleh kerana saya mahukan maklum balas maka kehadiran saya malam tersebut pasti akan membetulkan atau menidakkan kesimpulan awal saya.

Ternyata Dr Aznan menanti untuk menafikan kesimpulan yang saya sebutkan dalam portal berita beberapa bulan yang lalu itu.

Saya berpuas hati dengan penjelasan Dr Aznan dan mengharapkan ruang diskusi yang lain dapat membetulkan persepsi saya sebagaimana ISMA juga diharapkan memahami realiti masyarakat yang pelbagai kaum di Malaysia ini.

Saya sambut “bola lipat” dengan “menyepak” balik secara terhormat. Forum berlangsung sehingga 11.30 malam dan di sebalik kehangatan malam itu dengan pelbagai isu saya berasa cukup puas hati malah suasana mesra akhirnya dapat menguasai keadaan.

 

Dialog

 

Ketika kenyataan media dan pertemuan saya dengan SIS telah diputarbelitkan dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tertentu, saya berasa agak sedih. Bukan sedih untuk saya tetapi sedih untuk episod sebuah dialog.

Saya membuat kemasan ringkas terkini status facebook saya bawah tajuk “Matinya Episod Dialog”.

 

Namun setelah saya kuatkan semangat untuk meneruskan keazaman berdialog dengan semua pihak termasuk yang berbeza pandangan dengan saya sekalipun, saya tersenyum puas bahawa episod dialog akan terus akan segar dan menyuburi masyarakat Malaysia. Mereka yang mahu mentalqinkan budaya dialog adalah mereka yang mati sebenarnya.

Saya fikir kita harus sedar akan realiti dan persekitaran masyarakat kini sudah jauh berubah berbanding zaman 70-an atau 80-an dahulu. Ertinya kita harus cepat mengadaptasi suasana dan realiti baru ini dengan pendekatan-pendekatan baru sesuai dengan realiti yang wujud.

Namun segala adaptasi ini harus berpandukan kepada prinsip-prinsip perjuangan asal. Sudah tentu ianya memerlukan pemahaman yang mendalam tentang perkara-perkara tetap -“Thawabit” dan perkara-perkara yang boleh berubah - “Mutaghayyirat” buat pendokong-pendokong dakwah.

 

Apapun, syabas SIS dan syabas ISMA kerana memberi rakyat Malaysia ruang menyuntik kehidupan kepada wacana dialog.


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA Ahli Parlimen Parit Buntar dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS.

Lihat Komen
ADS