Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kali pertama saya berwacana atau berdebat secara langsung dengan SIS ialah dalam satu forum pada awal tahun 2000 semasa saya masih bergiat dalam kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pusat.

Program tersebut dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar (IKD) diadakan di Shah Hotel, Petaling Jaya.

 

Khalid Jaafar yang menerajui IKD ketika itu memang mengenali saya sebagai rakan seperjuangan di Melaka di bawah wadah Barisan Alternatif (BA).

Selepas itu saya banyak berwacana dengan SIS secara tidak langsung melalui tajuk-tajuk wacana yang tidak khusus sama ada wakil SIS juga sebagai panel atau mereka bertanyakan soalan kepada saya ketika saya menjadi salah seorang panel dalam forum-forum yang diadakan.

 

Kenapa SIS ‘panas’

 

Isu SIS atau Sisters in Islam memang ‘panas’ waktu itu memandangkan isu liberalisme dan pluralisme mula kedengaran dalam lingkungan kepimpinan Pemuda PAS ketika itu. Saya salah seorang yang menerajui Lajnah Perpaduan Nasional Dewan Pemuda PAS memang mencari ruang untuk berwacana bersama.

 

Di bawah pimpinan Salahuddin Ayub sebagai ketua Pemuda PAS, beliau menggagaskan “duta penyelamat” dengan mengambil pilihan untuk melakukan “engagement”.

Saya adalah penyokong kuat pendekatan ini dan mengalu-alukan sebarang wacana dengan SIS. Begitu juga rakan-rakan Pemuda yang lain ketika itu seperti Hanipa Maidin dan lain-lain.

 

Ketika saya berdebat dengan SIS di Petaling Jaya itu, kami membincangkan tentang Islam dan isu moral. Saya menegaskan bahawa Islam perlu dilihat dalam bentuk “substance” dan bukan “form” semata-mata manakala perundangan dalam Islam adalah bertujuan untuk memelihara kepentingan umum.

 

Salah guna penguatkuasa agama bukan mewakili sikap Islam kerana itu adalah kesalahan manusia. Saya menegaskan konsep 'omnipresence Islam' dan kelemahan manusia memahami tuntutannya.

 

Tidak banyak yang dicanggahi oleh Zainah Anwar yang mengetuai SIS dalam debat itu malah beliau lebih banyak mempertikaikan pihak autoriti agama dan menyatakan kalau semua orang mempunyai kefahaman seperti hujahan saya maka keadaan menjadi lebih mudah.

 

Beberapa minggu kemudian Pak Shukor Harun, pengarang Harakah, ketika itu menulis satu artikel tentang usaha murni dan keterbukaan pimpinan Pemuda PAS dan beliau menyebut contoh seperti Mujahid yang walaupun berbeza sikap dengan SIS tetapi bersedia untuk dialog. Itu beberapa tahun yang lampau.

 

Saya juga bahkan banyak mengkritik SIS melalui penulisan-penulisan saya apabila timbul beberapa isu seperti isu kelab malam Zouq, isu Kartika dan isu polis moral yang menjadi tajuk utama pertikaian SIS.

 

Pertemuan 2014

 

Pertemuan saya kali ini pada 2014 dengan mengambil bentuknya yang berbeza, saya sebagai seorang ahli parlimen yang bertanggungjawab untuk menggubal undang-undang di Dewan Rakyat yang cuba memahami konteks prosedur dan pentadbiran serta pengurusan perundangan.

 

Ini mengheret saya kepada satu kontroversi kerana terpaksa melihat fatwa tentang SIS oleh MAIS dalam kerangka perundangan.

Tuduhan terhadap SIS amatlah berat kerana SIS dianggap sesat dan mewajibkan pengharamannya setelah fatwa pluralisme dan liberalisme digazetkan.

 

Membuka ruang

 

Adalah menjadi hak dan tanggungjawab saya untuk membuka ruang kepada yang tertuduh setelah SIS mendakwa fatwa yang digazetkan dikenakan kepada mereka tidak dimaklumkan dan diadakan perbincangan terlebih dahulu. Tetapi MAIS mendakwa bahawa pada tahun 2012 mereka telah berbincang dengan SIS.

 

Lebih menarik dalam pertemuan saya dengan SIS, mereka pula mendakwa dalam pertemuan pada Januari 2012 itu adalah untuk memaklumkan kepada MAIS tentang permasalahan kes-kes wanita yang direkodkan oleh SIS untuk pengetahuan MAIS dan bukannya perbincangan tentang isu pluralisme dan liberalisme.

 

Lebih menarik untuk saya memahami ialah apakah pluralisme dan liberalisme takrifan MAIS terpakai ke atas SIS? Bagaimana sesuatu takrifan itu hendak diaplikasikan tanpa perbincangan atau muzakarah?

Bagaimana membezakan fatwa dan penguatkuasaan fatwa? Bukankah penguatkuasaan itu perlu kepada perincian dinilai terhadap pihak yang dituduh? Tanpa satu doktrin prosedur yang telus dan tuntas bagaimana penguatkuasaan fatwa boleh diyakini adil?

 

Malah lebih buruk dalam keadaan ketelusan tiada akhirnya fatwa tersebut dipertikaikan malah terdedah kepada semakan kehakiman. Saya hanya berminat untuk mengetahui kepada pihak yang difatwakan apakah semua ini telah dilaksanakan ke atas SIS?

Autoriti agama

 

Ramai yang tidak sedar tentang realiti perbezaan “Islam dalam konteks pihak berkuasa agama” dan “Islam dalam konteks syariatnya”. Mengkritik institusi Islam dan pihak berkuasa agama dalam kerangka perundangan bukan bermakna mengkritik Islam dari sudut teologi atau syariatnya.

 

Ini adalah kerana pihak autoriti agama hanyalah pentadbir dan pengurus kepada dasar agama dan perundangannya dan kerana itu ia terdedah kepada kritikan dan pembaikan dari masa ke semasa.

Mengkritik autoriti agama tidak boleh disamakan dengan mengkritik Islam kerana Islam dari sudut teologi dan hukum-hakamnya telah sempurna.

 

Sensitif dan taboo

 

Saya sedar bahawa kenyataan dan pertemuan saya dengan SIS akan disalahtanggap dari sudut itu. Saya juga sedar bahawa orang Islam khususnya masih kurang jelas garis pemisahnya antara autoriti agama dan syumuliyyah syariat Islam.

Tetapi saya juga bertanggungjawab sebagai seorang ahli legaslatif untuk memahamkan orang ramai atas tindakan saya dan tidak membiarkan garis kelabu berterusan kabur. Saya bahkan sama sekali tidak mempertikaikan syariat Islam jauh sekali untuk mencabarnya!

Tetapi saya berhak untuk memastikan apa sahaja yang berkaitan dengan Islam diurus, dilaksanakan, diperundangkan dan disampaikan dengan yang terbaik. SIS melalui perjalanannya sebagai NGO menuntut hak wanita Islam dalam kerangka undang-undang yang menjadikan Islam sebagai rujukan.

 

Walaupun saya banyak tidak bersetuju dengan sebahagian daripada pandangan dan kritikan SIS namun ia bukan alasan untuk tidak berdialog dengan mereka dan memberikan pandangan kita yang berbeza dalam memperbaiki perundangan dan perlaksanaannya.

 

Isu-Isu SIS

 

Saya cuba memahami kenapakah pandangan SIS kritikal kepada penerimaan umum tentang isu-isu Islam. Saya sama sekali tidak bersetuju dalam isu aurat untuk menyatakan tidak ada aurat dalam Islam ataupun menyatakan tidak ada poligami dalam Islam ataupun menyatakan undang-undang hudud tidak releven dan sebagainya.

 

Tetapi saya juga harus mengenalpasti semua kenyataan itu dengan membezakan adakah ia dikatakan di atas faktor kejahilan, mencabar, atau menimbulkan keraguan atau ia dipertikaikan dalam aspek perundangan dan prosedurnya.

 

Kita tidak mungkin membuat kesimpulan sehingga satu muzakarah secara spesifik diadakan sebelum hendak diharamkan. Buku-buku penerbitan SIS dikatakan bukti pemikiran sesat mereka namun sudahkah ianya dikupas bersama dan mendapat penjelasan?

 

SIS juga dituduh ada agenda asing untuk mengelirukan umat Islam, sudahkah dibuktikan secara tuntas? Kerana jika demikian ia bukan sahaja kesalahan syariat tetapi ianya juga satu  ancaman kepada keselamatan nasional!

Hingga saat ini ia kekal di alam sangkaan yang tidak berbukti. Saya tidak berminat aduan pihak ketiga tentang SIS, saya lebih berminat apakah tindakan pihak autoriti agama dalam hal ini.

 

Sesatkah SIS?

 

Artikel ringkas ini belum menjawab soalan penting kenapa SIS digazetkan sesat atas alasan mengamalkan pluralisme dan liberalisme. Sesatkah mereka?

 

Saya meletakkan soalan ini sebagai prioriti dalan pertemuan saya dan rakan-rakan yang lain dengan SIS di pejabat GMMF (Global Movement of Moderation Foundation) dengan Datuk Saifuddin Abdullah selaku moderatornya.

Kesemua mereka menyatakan bahawa itu datang daripada pemikiran di Indonesia dan mereka tiada kapasiti ilmu untuk mendebatkannya apatah lagi mengamalkannya.

 

Mereka juga menyatakan tidak mengimani bahawa semua agama adalah sama, tetapi mereka menyatakan mereka lebih berminat untuk memperjuangkan hak wanita yang bagi mereka ada kecacatan dalam konteks dasar, perlaksanaan dan perundangan yang merujuk kepada Islam sebagai termanya.

 

Saya tidak menyatakan bahawa itu satu jawapan kepada penguatkuasaan fatwa ini tetapi saya menyatakan ruang untuk mendapat penjelasan secara spesifik dan mendalam perlu dilanjutkan.

 

Cabaran masa depan

 

SIS hanya satu episod dan baru beberapa hari daripada pertemuan saya dengan SIS muncul pula episod baru tentang Mahkamah Rayuan memperakui hak kebebasan asasi setelah tiga orang lelaki Islam transgender dikenakan hukuman atas Enakmen Agama Islam Negeri Sembilan kerana berpakaian seperti wanita.

Episod Enakmen Agama Islam Negeri dan Perlembagaan Persekutuan akan terus bertembung selagi perlembagaan mengizinkan. Namun soalnya episod-episod konfik perundangan ini akan membabitkan Islam dan syariatnya serta tanggapan terhadapnya.

 

Langkah awal memahami kondisi sukar ini ialah menghayati terlebih dahulu perbezaan antara autoriti Islam dan syariat Islam. Mengkritik autoriti Islam bukan bermakna mengkritik batang tubuh syariat Islam.

 

Mengkritik autoriti Islam ialah memperbaiki proses dan prosedurnya dalam usaha untuk mempertahankan kemuliaan syariat Islam. Sebab itulah jika kita gagal menegur dan mengkritik, kita akan memberikan gambaran yang kurang tepat kepada kesyumulan syariat Islam itu sendiri.

Kita semua mengetahui bahawa Islam adalah agama yang sangat mementingkan keadilan. Namun keadilan  dalam Islam itu bukan hanya sekadar untuk diungkapkan, bahkan wajib untuk dizahir dan ditonjolkan supaya keadilan dan kebenaran itu terserlah.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Al Maa’idah: 8)


DATUK DR MUJAHID YUSOF RAWA MP Parit Buntar dan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS.

Lihat Komen
ADS