Najib di Sabah untuk lawatan dua hari

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di Kota Kinabalu malam tadi untuk lawatan rasmi dua hari ke Sabah.

Pesawat khas, yang membawa Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu kira-kira 9.45 malam tadi.

Ketibaan mereka disambut oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, anggota-anggota Kabinet Negeri, ketua-ketua jabatan dan agensi kerajaan persekutuan dan negeri serta pemimpin parti-parti komponen BN.

Esok, Najib yang juga Pengerusi BN dijadual merasmikan Konvensyen Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (Upko) di Dewan Kompleks Sukan Likas di Kota Kinabalu, sebelum menghadiri majlis penyerahan cek kepada Kadazan Society Sabah di sebuah hotel.

Beliau kemudian dijadual menghadiri Mesyuarat Perhubungan Umno Sabah di Pejabat Umno Negeri sebelum merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kota Kinabalu.

Pada pagi Ahad, Najib dijadual merasmikan Persidangan Agung Perwakilan Parti Bersatu Sabah (PBS) Ke-29 di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas.

Pada sebelah petangnya pula, Najib dijadual merasmikan Kongres Parti Liberal Demokratik (LDP) di sebuah hotel di Kota Kinabalu.

Selepas itu, Najib dan Rosmah dijadual pulang ke ibu negara.

- Bernama