Ketua Polis Negara hari ini dicabar menangkap dan menahan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, kerana menghalang siasatan rasuah terhadap seorang pegawai kanannya. Tan Sri Norian Mai menerima cabaran itu dalam satu ucapan Ketua Pemuda Parti KeADILan Nasional, Mohamad Ezam Mohd Nor.

Ezam menegaskan sikap Dr Mahathir itu sebagai "melakukan jenayah." Pemuda KeADILan juga meluluskan isu yang sama sebagai usul tergempar dalam sesi perbahasan.

Ucapan di perhimpunan agung pemuda parti itu petang ini merujuk keterangan yang diberikan oleh bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah, Datuk Shafie Yahya, di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Isnin lalu.

Sebagai saksi pembela dalam perbicaraan kes kedua bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Shafie berkata Perdana Menteri memanggilnya dan memarahinya di pejabat pemimpin negara itu.

Mahathir menuduh beliau cuba memerangkap Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi, Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman, kata Shafie dalam keterangannya lagi.

Menurut Shafie, Perdana Menteri mengarahkan siasatan sejumlah wang tunai RM100,000 yang dijalankan BPR terhadap Abul Hassan diberhentikan.

Sementara Anwar dalam laporan polisnya Selasa lalu meminta polis dan Peguam Negara menyegerakan siasatan dan pendakwaan terhadap Mahathir. Ketua Pembangkang, Datuk Fadzil Mohd Noor dan Pengerusi DAP Lim Kit Siang juga menggesa Perdana Menteri disiasat berdasarkan keterangan bekas Ketua Pengarah BPR itu.

Ezam, dalam ucapan yang sama, menyokong cadangan Majlis Peguam untuk menubuhkan tribunal bagi menyiasat dakwaan salah laku Ketua Hakim Negara, Tun Eusoff Chin, berhubung lawatannya bersama seorang peguam terkenal, V. K. Lingam di New Zealand enam tahun lalu.

Malaysiakini dalam satu laporan eksklusif semalam mendedahkan alasan Eusoff bahawa "pertemuan itu secara kebetulan" bertentangan dengan laporan sebuah agensi penyiasatan persendirian, Bowman Investigations, yang berpangkalan di United Kingdom.

Siasatan Bowman itu dibuat atas permintaan beberapa syarikat insurans dan guaman di negara ini. ("[#1] Eusoff, Lingam face new allegations[/#] ", June 14)

Beliau juga mengecam Perdana Menteri yang dilaporkan berkata semalam bahawa tribunal itu tidak diperlukan dan cadangan Majlis Peguam itu mempunyai "motif politik."

Bekas setiausaha politik Anwar itu juga menggesa hampir 1,000 perwakilan KeADILan yang akan bersidang mulai esok agar membahaskan isu penggabungan parti itu dengan Parti Rakyat Malaysia dengan rasional dan serius.

Beliau menghargai langkah PRM yang meluluskan usul khas kesediaan bergabung dengan KeADILan dalam kongres nasional pada hujung minggu lalu.

Ezam juga mengkritik pengarang-pengarang akhbar arus perdana dan menyifatkannya "alat perkakas pemerintah."

Di samping itu, beliau mengucapkan tahniah kepada pengarang dan media alternatif, seperti bekas editor majalah yang diharamkan Detik, Ahmad Lutfi Othman, akhbar web malaysiakini.com dan laman-laman web termasuk freemalaysia.com kerana keberanian mereka mendedahkan penyelewengan kerajaan.

Ucapan Ezam itu diselang-seli dengan tepukan gemuruh dan laungan reformasi serta Allah-u-akbar.

Kira-kira 300 perwakilan Pemuda dan pemerhati hadir mesyuarat yang tamat 6:30 petang ini. Ia dirasmikan Timbalan Presiden KeADILan, Dr Chandra Muzaffar, tengah hari tadi.

Esok, persidangan tiga hari bagi kali kedua parti itu akan dirasmikan Presiden Dr Wan Azizah Ismail di Auditorium Angkasa, Kelana Jaya.