Pemimpin popular DAP Lim Kit Siang menyelar menteri MCA dan Gerakan kerana tidak menentang rancangan membentuk Mahkamah Persekutuan Syariah dalam mesyuarat kabinet.

“Menteri MCA dan Gerakan patut menjelaskan kerana mereka tidak menyatakan bantahan dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat terhadap cadangan yang bertentangan perlembagaan untuk membentuk Mahkamah Persektuan Syariah yang mempunyai kuasa sama dengan Mahkamah Persekutuan sivil, katanya.

Katanya, menteri kedua-dua parti itu dan lain-lain anggota kabinet cuai terhadap sumpah mempertahankan perlembagaan.

Ini kerana, tambah Lim ( kanan ), mereka gagal menuntut kerajaan memberhentikan campur tangan dalam perkembangan yang “menentang perlembagaan”.

Katanya, kedua-dua parti itu sebaliknya membiarkan perkara itu dibangkitkan oleh pemimpinnya yang lebih rendah walaupun tahu tidak akan didengar.

“Tempat yang betul dan paling sesuai untuk menyatakan bantahan seharusnya dalam menguasakan kabinet pada Jumaat,” katanya dalam kenyataan.

Pengerusi biro keharmonian agama MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker sebelum ini menyatakan rasa bimbang jika Mahkamah Persekutuan Syariah, seperti dicadangkan kerajaan, akan mengatasi Mahkamah Rayuan Sivil.

Katanya, penubuhan mahkamah itu akan melanggar peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa undang-undang paling tinggi adalah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang syariah hanya termaktub ke atas orang Islam.

Cadangan berkenaan diumumkan oleh menteri agama Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang berkata, lima peringkat mahkamah syariah itu turut melibatkan penubuhan Mahkamah Tengah Syariah dan Majlis Rayuan Syariah.

Laporan Berita Harian pada Khamis menyebut Jamil sebagai menegaskan, tahap bidang kuasa Mahkamah Persekutuan Syariah itu harus sama dengan Mahkamah Persekutuan sivil.

[Baca berita asal]