ADUN: Bila Johor mahu ikut jejak PP dan S'gor
Kerajaan negeri Johor ditanya bilakah ia akan mengikut langkah kerajaan negeri Pakatan Rakyat Selangor yang mengiktiraf kedudukan jawatan ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).
ADUN Tangkak, Ee Chin Li juga bertanya bilakah kerajaan negeri Johor mahu mengikut jejak Kerajaan Pakatan Pulau Pinang yang membuat keputusan memberi peruntukan tahunan kepada ADUN dari BN di negeri itu.
Ee membangkitkan perkara itu dalam teks ucapan perbahasan bajet negeri Johor 2015 semalam.
Katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor telah mengiktiraf kedudukan jawatan Ketua Pembangkang yang disandang oleh wakil Umno di DUN Selangor, dengan pelaksanaan Enakmen Ketua Pembangkang Negeri Selangor.
"Ketua Pembangkang Negeri Selangor akan menerima elaun tetap, elaun pemandu, elaun setiausaha kerja, kereta rasmi kerajaan dan elaun lain seperti seorang Exco negeri," katanya.
Selain itu, tegas Ee lagi, Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang turut membuat keputusan memberi peruntukan tahunan kepada ADUN daripada parti Barisan Nasional.
"Bilakah Kerajaan negeri Johor yang selalu berbangga dengan mempunyai Undang-Undang Tubuh Negeri yang pertama di Malaysia dan juga menjadi sebagai model bagi perlembagaan negeri masing-masing hendak mengikut tindakan demikian," soalnya.

