Gilotin: Pejabat TMB kesal laporan tak tepat
Pejabat Timbalan Menteri Besar (TMB) Kelantan kesal dengan laporan media yang tidak tepat dan menimbulkan salah faham masyarakat berhubung kaedah penggunaan gilotin dalam pelaksanaan hudud di negeri itu.
Gilotin adalah alatan kuno untuk memotong anggota badan manusia yang kali pertama digunakan pada 1792 di Paris ke atas perompak bersenjata Jacques Nicolas Pelletier sewaktu Revolusi Perancis.
Dalam kenyataannya, Setiausaha Sulit Kanan TMB Mohd Khairil Hazmie Yusof menegur laporan mStar Online bertajuk "Hukum Hudud: Gilotin Jadi Pilihan Di Kelantan" semalam.
Beliau berkata berkata kaedah itu telah dicadangkan oleh wartawan itu berdasarkan 'pandangan awam' dalam temuramah melalui perbualan telefon.
"... suka dimaklumkan bahawa apa yang berlaku dalam perbualan telefon tersebut adalah wartawan berkenaan yang telah mencadangkan kaedah 'gilotin' berkenaan berdasarkan 'pandangan awam'.
"Datuk Mohd Amar memaklumkan bahawa cadangan berkenaan boleh dipertimbang dan dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Teknikal Hudud, selepas kajian dilakukan," katanya dalam satu kenyataan semalam.
Mohd Khairil berkata tindakan mengaitkan Mohd Amar dengan cadangan itu adalah kesilapan wartawan itu yang dianggap boleh menjejaskan kefahaman dan menimbulkan kegusaran masyarakat.
"Seterusnya merosakkan imej kerajaan negeri yang dalam rangka mendidik orang awam bagi memahami dan menerima hukum hudud," katanya.

