Iszuree mohon kebenaran cabar pemecatannya
Ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dari PAS, Iszuree Ibrahim telah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk semakan kehakiman bagi mencabar pemecatannya dari semua jawatan dalam jawatankuasa majlis tempatan itu.
Dalam permohonannya itu, Iszuree menamakan majlis mesyuarat kerajaan negeri, MPPP dan kerajaan negeri sebagai responden.
Bercakap dalam sidang akhbar di Kepala Batas semalam, yang turut dihadiri peguam Mohd Harris, Iszuree berkata beliau mungkin memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng selepas ini.
Katanya, beliau hanya mahu menegakkan keadilan dan mempertahankan maruah dirinya dan bahawa tindakannya tiada kaitan dengan kedudukannya di MPPP, memandangkan tempohnya akan tamat akhir tahun ini.
Iszuree yang juga bendahari PAS Pulau Pinang berharap agar keadilan yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat dapat dibuktikan dan "jangan hanya cakap tidak serupa bikin.".
Katanya, jika Lim merasakan menteri dalam negeri tidak adil terhadapnya berhubung isu Pasukan Peronda Sukarela (PPS) kerana didakwa menafikan haknya untuk mempertahankannya dan melanggar undang-undang keadilan semula jadi, maka kata Iszuree, "jangan melakukan ini kepada orang lain".
Ia merujuk kepada pengharaman PPS baru-baru ini yang telah dicabar oleh Lim.
"Untuk menjadi pemimpin yang baik, anda perlu menjadi pendengar yang baik," kata Iszuree sambil menambah beliau pernah berhujah dengan ahli keluarganya untuk mempertahankan Lim, tetapi ekoran apa yang telah mereka lakukan kepadanya, beliau telah hilang kepercayaan terhadap Lim.
Ditanya sama ada tindakan undang-undang beliau itu mendapat restu kepimpinan PAS, Harris berkata, memandangkan Lim boleh menyaman MP Temerloh Nasrudin Hassan Tantawi dan bekas calon PKR Mohd Shamsul boleh menyaman Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, jadi mengapa Iszuree tidak boleh berbuat demikian?
Lagi pula,tambahnya, tindakan itu adalah terhadap kerajaan secara keseluruhan, bukan terhadap mana-mana individu.
Beliau menjangka mahkamah akan membuat keputusan berhubung permohonan itu minggu depan.
Menurutnya, notis, seperti yang dikehendaki di bawah prosedur, juga telah dihantar ke Pejabat Peguam Negara dan penasihat undang-undang negeri Pulau Pinang. [Baca berita penuh/asal]
Sementara itu, Bernama melaporkan, Iszuree memfailkan permohonan itu pada 14 November lepas.
Dalam afidavitnya, Iszuree menuntut kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 26 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang telah memutuskan Iszuree dikeluarkan dari semua jawatankuasa tetap responden kedua dan pembekuan semua peruntukannya.
Beliau juga memohon kebenaran mahkamah untuk membatalkan surat responden kedua bertarikh 29 September 2014 dan keputusan responden pertama yang dibuat pada 25 September 2014 yang telah memutuskan bahawa beliau dikeluarkan daripada semua jawatankuasa tetap responden kedua, mesyuarat ad-hoc dan pembekuan peruntukan secara serta merta.
Tuntutan lain yang dibuat ialah sekiranya mahkamah memperkenankan kedua-dua permohonan itu, beliau juga memohon perintah sementara untuk menggantung keputusan responden pertama yang disampaikan kepadanya melalui surat responden kedua bertarikh 26 September dan 29 September 2014 sehingga usul substantif didengar.
Iszuree juga memohon responden pertama, kedua dan ketiga membayar ganti rugi kepadanya seperti yang ditaksirkan oleh mahkamah kelak dan kos permohonan sampingan ditanggung dan dibayar oleh ketiga-tiga responden dalam apa keadaan sekalipun.
Dalam sidang media itu, Iszuree berkata tuntutan yang dibuat itu bertujuan menuntut keadilan dan memulihkan semula maruahnya kerana diberhentikan tanpa berpeluang membuat pembelaan.
"Ini adalah soal maruah... bukan saya nak tuntut semula jawatan saya itu, jangan menghukum tanpa bicara.
Iszuree didakwa disingkirkan daripada semua jawatankuasa tetap MPPP berikutan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor Bahru baru-baru ini yang mengkritik kerajaan negeri berhubung isu dasar perumahan.

