Pendengaran tatatertib Fahmi 9 Dis
Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol dikehendaki menghadiri pendengaran tatatertib pada 9 Disember ini terhadap tuduhan mengadakan perhimpunan haram di kampus Universiti Malaya.
Ia terkandung dalam notis prosiding tatatertib bertarikh semalam, dari pengerusi jawatankuasa tatatertib Pelajar, Prof Dr Zanariah Abdullah.
Notis itu juga mengemukakan lapan pertuduhan yang dipinda terhadap Fahmi, berbanding dengan sembilan pertuduhan sebelum ini.
Sebelum ini, pendengaran tatatertib terhadap Fahmi dan lapan mahasiswa UM yang dituduh mengadakan perhimpunan haram di kampus itu yang dijadual pada 7 November lalu, telah ditangguhkan.
Mereka berdepan dengan tindakan disingkir daripada universiti kerana menyertai perhimpunan yang dianggap haram bersama ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, 27 Oktober lalu.
Ringkasan pertuduhan tersebut adalah:
1. Menganjurkan satu perhimpunan seperti mana yang tersiar di laman Facebook Fahmi Zainol.
2. Memberi ucapan ketika perhimpunan tersebut.
3. Menjalankan urusan yang "merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan atau nama baiik universiti" di kampus.
4. Merosakkan dan memudaratkan keselamatan awam, moral dan tatatertib.
5. Membuat huru hara di mana pagar universiti telah dirempuh dan dirosakkan.
6. Memiliki alat pembesar suara atau alat-alat serupa tanpa kebenaran naib canselor.
7. Melanggar arahan Timbalan Naib Canselor untuk membatalkan pidato tersebut.
8. Gagal mematuhi surat tunjuk sebab pada 23 Oktober.
Sementara itu, tujuh lagi mahasiswa yang bersama Fahmi Zainol akan dipanggil pada hari yang sama.
Enam daripadanya berdepan dengan dua pertuduhan manakala seorang lagi tiga pertuduhan.
Perhimpunan pada 27 Oktober itu disertai kira-kira 2,000 pelajar dan aktivis
selepas merempuh pintu pagar universiti berkenaan.
Universiti itu menutup pintu masuk utama dari arah Kuala Lumpur bagi menghalang acara tersebut yang tidak mendapat kelulusan pihak pentadbiran
Anjur ceramah Anwar: Fahmi hadapi 9 tuduhan

