Seorang editor kanan akhbar Utusan Malaysia, Zaini Hassan membandingkan mentaliti masyarakat Melayu dan Cina dan juga sikap golongan berkenaan dalam keusahawan.

Dalam tulisan di akhbar milik Umno itu, Zaini turut mambangkitkan mengenai tindakan pentadbiran PAS di Kelantan sehingga warga negeri itu didakwanya hanya menumpukan isu politik sepanjang masa.

Zaini memuji usahawan muda Cina berusia bawah 40 tahun yang berjaya menempa kejayaan sehingga tersenarai dalam senarai 40 usahawan terbaik.

Beliau seterusnya berharap agar mereka yang berjaya dapat memberi inspirasi kepada anak muda melayu walaupun tiada anak muda Melayu yang tersenarai.

“Saya berharap ia akan memberi inspirasi kepada anak muda Melayu, yang seorang pun tidak ada dalam senarai itu.

“Malang sekali walaupun pelbagai intensif diberikan oleh kerajaan, tiada seorang pun muka daripada spesis dan DNA Melayu yang layak?

“Saya juga berharap ada antara jutawan melayu seperti Azman Hashim, Syed Mokhtar Al-Bukhary, Mustapha Kamal dan lain-lain yang sanggup tampil menjadi mentor usahawan muda kita.

“Atau kita tidak perlulah mentor-mentee jika tidak nanti kita pula yang perlu berkata ‘sampai bila kita perlu disuap atau diberi tongkat’,”ujarnya.

 

Kota Bharu 20 tahun lalu.

Zaini turut membandingkan keadaan di Kota Bharu, Kelantan pada masa kini dengan keadaan di semasa beliau bertugas di bandar itu, 20 tahun lalu.

Katanya, Kelantan merupakan negeri yang “24/7 atau 24 jam 7 hari” yang bercakap mengenai politik.

Semasa mendaftar masuk sebuah hotel di tengah-tengah bandar itu, beliau mendengar satu ceramah melalui satu corong pembesar suara di bandar itu.

“Ia berkisar mengenai pemimpin yang zalim, saya juga dengar lagi mengenai kisah kerajaan yang zalim dan ahli kabinetnya yang zalim.

“Ustaz itu menyulam ucapan dengan nas nabi dan ayat al-Quran bagi menguatkan hujahnya.

“Semacam ditujukan kepada kerajaan Malaysia.

“Tiada kemajuan langsung dari segi pemikiran ceramah itu. Kasihan orang Melayuku yang siang malam dipaksa mendengar ceramah-ceramah seumpama itu.

“Ia satu basuhan minda yang cukup berkesan. Semasa orang sudah ke hadapan kita masih ke belakang 20 tahun,” tambahnya.

Beliau seterusnya membandingkannya dengan tindakan pemerintah China yang meletakkan corong pembesar suara diletakkan ke seluruh pelosok dan dimainkan lagu patriotik dan ucapan berapi pemimpin mereka.