9 unit rumah alami kegelongsongan tanah
Diterbitkan: Nov 27, 2014 3:21 PM | Dikemas kini: Nov 27, 2014 3:22 PM
Sembilan unit rumah yang terletak di lereng sebuah bukit, mengalami kegelongsoran tanah manakala enam lagi terancam, berikutan kejadian tanah mendap berdekatan Lorong Mahsuri di Kampung Panchor, di Seremban malam tadi.
Rumah di kawasan perumahan berkenaan didirikan di satu tanah lot setiap sebuah dan keluasan tanah runtuh di belakang rumah mereka ialah sepanjang 134.1 meter (440 kaki).
Sebanyak 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Seremban dan Seremban 2 diketuai Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Ahmad Nizam Sapaiee ke lokasi kejadian setelah mendapat panggilan kecemasan pada pukul 7.17 malam.
Ekoran daripada kegelongsoran tanah tersebut, sebatang pokok tumbang dan mengenai sebuah reban ayam penghuni sebuah daripada rumah di situ, kata Pengarah Bomba dan Penyelamat Negeri, Norazam Khamis kepada Bernama hari ini.
Katanya tiga buah keluarga yang rumah mereka terjejas dalam kejadian itu telah berpindah ke kawasan yang lebih selamat malam tadi manakala yang lain disarankan juga berpindah hari ini.
Norazam berkata ini merupakan kejadian ketiga yang berlaku di kawasan terbabit sejak 20 tahun yang lalu.
Pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama pejabat daerah dan beberapa buah agensi berkaitan bagi membincangkan tindakan selanjutnya.
"Buat masa ini, pihak kami mengambil langkah kawalan dengan mengadakan pemantauan, khususnya di sekitar kawasan terlibat selama 24 jam dalam dua tiga hari ini sehingga cuaca (hujan) kembali pulih," katanya.
- Bernama

