Kerajaan Selangor menggesa kerajaan persekutuan memasukkan “klausa penamatan awal” untuk projek lebuh raya di negeri itu di masa depan.

Menteri Besar Selangor Azmin Ali memberitahu Dewan Undangan Negeri (DUN), jika syarikat konsesi mendapat keuntungan mencukupi sebelum projek berakhir, perjanjian itu patut ditamatkan awal.

"Maka perjanjian mesti ditamatkan dengan lebih awal," katanya menjawab soalan Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) berhubung pendirian kerajaan berhubung pelaksanaan empat projek lebih raya itu dalam sidang DUN hari ini.

Empat projek lebuh raya itu adalah Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang, Pantai Barat (Taiping-Banting), Lingkaran Luar KL-Hubungan Timur dan Damansara-Shah Alam.

Azmin berkata kerajaan perlu menyediakan perjanjian konsesi lebuh raya yang lebih adil dan tidak memihak kepada pemegang konsesi.

Kerajaan negeri turut mengesyorkan supaya kerajaan pusat mengambil kira kepentingan awam dari sudut keselamatan dan kesejahteraan rakyat sebelum melaksanakan projek tersebut.

"Pandangan dan pendapat awam serta pihak berkepentingan perlu diambil kira diberi keutamaan kerana ia melibatkan cukai yang dibayar oleh rakyat," katanya.

"Dan akhirnya, prasyarat tambahan, perjanjian konsesi tidak boleh terikat dengan Akta Rahsia Rasmi 1972," katanya.

Kidex belum muktamad

Mengulas mengenai pelaksanaan projek lebuh raya Kinrara-Damansara (Kidex), Azmin yang juga timbalan presiden PKR berkata projek itu masih belum dimuktamadkan lagi.

"Kerajaan negeri meminta Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) supaya terus mengadakan dialog. perbincangan dan town hall untuk mendapat semua maklumat dengan stakeholder ," katanya.