Duta AS: Tiada negara terkecuali, termasuk M'sia
Jika dibahaskan, Akta Hasutan adalah urusan dalaman Malaysia.
Bagaimanapun, jika hak asasi manusia mungkin dilanggar, tiada negara terkecuali, kata Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia Joseph Y Yun.
Yun berkata demikian ketika membahaskan usaha memansuhkan Akta Hasutan di Malaysia dalam wawancara eksklusif dengan Malaysiakini sempena hari-hari terakhir 2014.
Katanya, penarikan balik janji pemansuhan akta itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ( kanan ) baru-baru ini mencetuskan keimbangan AS kerana akta itu, jika digunakan “terlalu meluas” akan melanggar hak asasi manusia.
“Jelas jika digunakan terlalu meluas, sudah tentu (langgar hak asasi).
"Dan kamu mesti ada keseimbangan untuk keperluan melindungi hak bersuara, perbezaan pendapat, melindungi semua kedudukan, di samping keperluan menjaga masyarakat.
“Jadi di mana garis pemisahnya? Ia sangat nipis. Jadi saya percaya menjadi tugas pemimpin untuk memaknai dan mewajarkan sempadannya: pada ketika mana kamu gunakan kuasa luar biasa dan pada ketika mana kamu kukuhkan akta hasutan dan undang-undang lain?
“Dan bagaimana kamu mewajarkannya, dan apa asasnya – ia jelas sekali tugas pemimpin.”
Ditanya berhubung gelaran “moderat” Presiden AS Barack Obama kepada Najib semasa lawatannya sebelum ini, Yun berkata beliau bukan orang yang sesuai untuk bercakap sama ada kualiti itu kini merosot.

