Semua orang berhak pilih agama, kata Low
Kebebasan beragama sebahagian daripada hak asasi manusia yang harus diguna pakai untuk semua, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low.
Katanya, walaupun beliau tidak dapat berhujah dengan pihak yang percaya keluar daripada Islam dilarang, semua orang sepatutnya boleh memilih agama yang mereka mahu.
“Saya tidak dapat berhujah dengan aliran pemikiran (Islam) itu, tetapi mereka (orang Islam) sendiri harus lihat apa hujah bantahan mereka terhadap hak-hak individu. Mereka harus rujuk pada kitab mereka.
“Tetapi daripada aspek hak asasi manusia sendiri, tanpa mengambil kira konteks sebarang agama, hak memilih adalah hak asasi manusia.
“Saya tidak boleh syarahkan sesuatu yang saya tidak percaya,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Menghuraikan kenyataannya dalam forum berjudul “Keharmonian dalam perbezaan, pendekatan hak asasi manusia” hari ini, beliau menegaskan bercakap berdasarkan pengalaman peribadinya.

