Penyokong bola sepak negara harus digalakkan bersolat sebelum perlawanan di stadium bagi membantu mereka mengawal emosi, kata Pemuda PAS.

Ketuanya Suhaizan ( bawah ) berkata, amalan itu dapat membantu mengelakkan insiden keganasan, seperti dalam perlawanan menentang Vietnam, berulang.

“Pemuda PAS sedia membantu pihak penganjur menggalakkan penonton bersolat. Solat itu mudah... Atas kerusi pun kita boleh solat.

“Pakai baju bola pun kita boleh solat. Solat itu best !” kata Suhaizan, merujuk kejadian pada aksi separuh akhir pertama Piala AFF Suzuki di Stadium Shah Alam sebelum ini.

Menulis di Facebook hari ini, Suhaizan juga menzahirkan perasaan tidak setujunya terhadap insiden yang menyaksikan penyokong Vietnam cedera dipukul selepas Harimau Malaya kalah 2-1.