Terima kasih k'jaan, kata Dapur Jalanan
Dapur Jalanan Kuala Lumpur, penerima Anugerah Hak Asasi Manusia ke-16 anjuran NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram), antara kumpulan relawan yang terus memberi makanan percuma kepada gelandangan meskipun dilarang pihak berkuasa.
Hari ini, penyelaras dapur umum itu Hadi Khalid ( gambar sebelah, di tengah-tengah ) dengan nada berjenaka mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerana menjadikan masalah tiada tempat tinggal sebagai isu nasional.
“Secara jujur kami berterima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Datuk Seri Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur kerana mengheret perkara ini menjadi isu nasional,” katanya.
“Kita tidak akan berada di sini jika tidak kerana mereka,” katanya yang turut berterima kasih kepada Suaram.
Selepas bantahan, Kementerian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur akhirnya bersetuju membenarkan dapur umum beroperasi, tetapi di kawasan yang disediakan.
Hadi berkata, mereka akan terus memberi tekanan kepada pihak berkuasa untuk berunding dengan masyarakat terlebih dahulu berhubung isu berkaitan gelandangan dan bukan bertindak sendiri membangunkan 'rumah perlindungan'.
Selain itu, anugerah sama turut diterima oleh transgender Seramban.
Pengasas NGO transgender Justice for Sisters S Thilaga turut berterima kasih atas pengiktirafan diterima mereka.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada Suaram memberi pengiktirafan untuk komuniti transgender di Negeri Sembilan, yang sebelum ini boleh diperlakukan apa sahaja tanpa dipersoal, termasuk keganasan dan norma sosial,” kata Thilaga.
Beliau berkata ia "penghormatan besar" bagi komuniti itu yang mengharungi tahun-tahun penuh trauma dan keganasan.

