Pemuda Umno hari ini menggesa Khazanah Nasional Bhd melantik warga tempatan sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) Malaysia Airlines Bhd (MAS) yang baru.
Naib Ketuanya Khairul Azwan Harun berkata MAS adalah set strategik nasional dan dana RM6 bilion yang disuntik Khazanah perlu diurus selia rakyat tempatan yang memahami budaya, cara kerja dan iklim ekonomi negara.
"Pelantikan ketua pegawai eksekutif baru yang diumumkan telah mengundang pelbagai persepsi terhadap kemampuan Khazanah yang terpaksa bergantung dengan pakar luar," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan sesi dialog Program Pertukaran Belia Malaysia-China 2014, di ibunegara hari ini.
Katanya Khazanah berkemampuan mencari calon tempatan yang lebih layak dan berpengalaman dalam urus tadbir pemulihan korporat atau menjalinkan kerjasama dengan Talent Corp serta agensi berkaitan untuk mendapatkan calon tempatan berkaliber.
Beliau turut menyarankan Khazanah melantik warga asing sebagai perunding atau penasihat untuk berganding dengan pakar tempatan dalam menjayakan pelan pemulihan MAS.
Khazanah Nasional pada Jumaat lepas mengumumkan pelantikan warga Jerman, Christoph R. Mueller sebagai bakal CEO syarikat baharu (NewCo) Malaysia Airlines.
Mueller sebelum ini berjaya mengubah nasib syarikat penerbangan Ireland, Aer Lingus yang dibelenggu pelbagai masalah selama bertahun-tahun dengan membangunkan keuntungan mampan serta menjana pendapatan menerusi pasaran dan model perniagaan baharu dalam hanya tempoh setahun selepas menyertai syarikat itu.
- Bernama
