Kakitangan Bernama TV mengadu pada JTK
Tiga puluh wakil kakitangan Bernama TV (BTV) membuat aduan kepada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di Kuala Lumpur hari ini, berhubung kegagalan syarikat itu membayar gaji mereka.
Mereka, termasuk wartawan, editor video, penerbit, juruteknik dan kakitangan sokongan, terakhir menerima gaji mereka pada 20 Oktober.
Semalam, BTV mengakui ia tidak lagi mampu untuk membayar gaji dan sebaliknya hanya membayar wang pendahuluan RM500 bagi gaji tertunggak untuk bulan November.
"Kami membuat enam aduan mengenai gaji kami, status kami (sebagai kakitangan), dan status syarikat itu," kata seorang wakil berkenaan kepada Malaysiakini, tetapi tidak mahu namanya disiarkan.
Selain menuntut gaji mereka dan jaminan bahawa mereka akan dibayar gaji bagi bulan Disember, kakitangan BTV itu juga mahu tahu siapa sebenarnya yang bertanggungjawab ke atas syarikat tersebut.
"Siapa pihak pengurusannya? Kami mahu tahu jika sesuatu berlaku lagi, kami nak rujuk pada siapa?" kata wakil itu
Bernama menegaskan bahawa ia tidak bertanggungjawab ke atas staf BTV kerana ia hanya pemegang saham minoriti stesen swasta itu.
Ia juga telah membayar gaji kakitangan BTV menggunakan dana sendiri, tetapi kini Ketua Pegawai Eksekutif BTV, Datuk Ibrahim Yahaya (kiri) berkata Bernama tidak lagi mampu untuk berbuat demikian.
Pengurus Besar Bernama, Datuk Zulkefli Salleh ketika dihubungi, memberitahu Malaysiakini bahawa agensi berita itu masih cuba untuk mencari penyelesaiannya.
Wakil kakitangan BTV itu berkata kini Jabatan Tenaga Kerja akan menyiasat aduan mereka dalam masa dua hingga tiga minggu akan datang.
Sementara itu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mendakwa Bernama TV (BTV) telah melanggar Akta Pekerjaan apabila gagal membayar tunggakan gaji pekerjanya sejak 20 Oktober lalu.
"Ia memang melanggar Akta Pekerjaan," kata Setiausaha Agung MTUC N Gopal Kishnam (kanan) apabila dihubungi Malaysiakini.
Kata beliau, pembayaran RM500 itu tidak membebaskan BTV kerana ia bukan pembayaran gaji penuh seperti yang dikehendaki akta tersebut.

