IHEU: Najib tak faham kebebasan berfikir
Satu badan hak asasi antarabangsa, International Humanist and Ethical Union (IHEU) menyelar kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang menyifatkan humanisme, sekularisme dan liberalisme sebagai ancaman berbahaya kepada Islam.
IHEU dalam laporan tahunannya, Freedom of Thought 2014 menyebut, kenyataan Najib itu juga satu sisi yang menyedihkan ke atas pemahaman PM dalam isu hak asasi.
Laporan itu meneliti isu hak, status perundangan dan diskriminasi ke atas penyokong humanisme, ateis dan golongan tidak beragama.
Perdana menteri dilaporkan menyatakan perkara itu semasa satu majlis Tilawah al-Quran pada Mei lalu.
Menurut laporan, Najib berkata fahaman seperti itu merupakan “ancaman atau serangan baharu kepada umat Islam” yang kini seolah-olah menjadi cabang agama baru.
Pemahaman seperti itu hanya “mengagungkan kehendak dan nafsu manusia semata-mata” dan juga menolak sistem nilai yang merangkumi norma agama dan adab susila.
“Mereka mengaburi dengan istilah kononnya atas dasar perjuangan hak asasi manusia. Pemikiran sesat ini adalah ancaman yang berbahaya kepada akidah dan syariat Islam sendiri,” kata Najib.
Mengulas perkara itu, presiden IHEU, Sonja Eggerickx, berkata kenyataan berkenaan menunjukkan Najib gagal menanggap ruang lintup dan juga keperluan untuk kebebasan berfikir dan beragama.
Tambahnya, tindakan Najib yang menggelarkan golongan tersebut sebagai “murtad” juga menafikan hak yang termaktub sejak sekian lama.
“Ia bukan soal tafsiran; beliau menafikan hak asasi ini walhal negaranya merupakan penandatangan.
“Kebebasan ini (berfikir dan berekspresi) bukan satu agenda asing, ia adalah piawai minimum bagi membolehkan rakyat menjalani hidup yang terisi dan satu-satunya cara untuk mencapai negara maju yang Najib ingin capai,” kata Eggerickx.

