Kira-kira 200 penduduk Kampung Tanjung Tokong, berhimpun bagi menghalang pemaju merobohkan sebuah lagi rumah penduduk hari ini.

Suasana menjadi tegang, selain berlaku insiden tolak menolak apabila jentolak milik syarikat pemaju mula mendekati rumah itu pada pukul 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Mior Faridalathrash Wahid berkata sepasukan anggota ditugaskan untuk mengawal keadaan dan lima pemuda terpaksa ditahan.

"Mereka ditahan untuk dokumentasi dan telah dibebaskan," katanya ringkas ketika dihubungi Bernama.

Bagaimanapun himpunan itu bersurai kira-kira dua jam kemudian selepas Anggota Dewan Undangan Negeri Tanjong Bungah Teh Yee Cheu berunding dengan pemaju dan meminta penangguhan selama seminggu.

Pemilik rumah berkenaan Saadiah Ahmad, 34, berkata dia menerima notis mengosongkan rumah pada 26 Nov lepas dan tidak berpuas hati kerana diarah berpindah ke rumah transit yang sempit.

"Keluarga saya ramai ada 12 orang. Saya ada minta dua buah rumah transit untuk sementara tetapi tidak dapat" katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Seorang penduduk Foad Ibrahim, 45, berkata beliau bimbang jirannya itu akan ditimpa nasib seperti bapanya yang masih belum dibayar pampasan yang dijanjikan selepas rumah dirobohkan.

Katanya rumah bapanya dirobohkan pada Disember tahun lalu, namun wang pampasan berjumlah RM4,500 yang dijanjikan belum diterima sehingga ke hari ini.

"Mereka (pemaju) berdolak dalik. Sampai sekarang tidak bayar. Baru-baru ini mereka buat syarat hanya akan bayar duit itu kalau saya setuju benarkan mereka roboh rumah saya pula selepas ini," katanya yang sudah tawar hati untuk

mempercayai pemaju.

Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Tanjung Tokong Salleh Yahaya berkata hanya tinggal enam rumah yang menunggu masa untuk diroboh termasuk rumahnya dan dia tidak akan berganjak selagi pemaju tidak memberi jaminan akan menyediakan zon kampung warisan di samping menyediakan rumah sementara yang selesa untuk

penduduk.

"Kampung ini telah wujud lebih 100 tahun. Ini bukan kampung setinggan, kami ada geran dan nenek moyang kami penduduk asal di sini," katanya.

Pemaju, Uda Holdings Berhad mula membangunkan kawasan Kampung Tokong bagi fasa pertama dengan pembinaan kondominium pada 2008, bagaimanapun fasa kedua belum dimulakan kerana mendapat bantahan penduduk.

- Bernama