Kumpulan Pro-Mahasiswa Universiti Malaya, berkata mereka mengalu-alukan kehadiran mana-mana pemimpin politik yang hadir ke perkhemahan Occupy UM di hadapan pintu masuk kampus berkenaan.

Pengerusinya, Safwan Shamsudin berkata, mereka juga terbuka sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hadir sebagai tanda solidariti dengan tujuh rakan mereka yang dikenakan tindakan oleh pentadbiran UM.

Safwan ditanya mengenai kehadiran naib presiden PKR, Rafizi Ramli ke tapak perkhemahan tersebut pagi ini.

“Pada saya tidak ada masalah, siapa sahaja yang nak hadir tak ada masalah waima pemimpin Umno hendak datang tak ada masalah.

“Sesiapa sahaja pemimpin pembangkang atau juga kalau Najib Tun Razak nak datang kami tidak ada masalah,” kata siswa jurusan Pengajian Islam itu ketika dihubungi Malaysiakini .

Safwan berkata,  golongan yang hadir di situ bukan membawa isu politik tetapi isu kebebasan mahasiswa.

“Saya tegaskan, siapa saja boleh hadir kerana isu yang kami perjuangkan bukan isu polititk tetapi isu kebebasan akademik.

“Apa yang kami nak lihat adalah kebebasan akademik,” katanya yang turut di kenakan tindakan gantung pengajian satu semester.

UM mengenakan tindakan ke atas tujuh siswa tersebut ekoran penganjuran pidato bersama ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada penghujung Oktober lalu.

Perkhemahan Occupy UM itu masuk hari kedua hari ini.