Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjelaskan mereka menyuraikan mahasiswa yang berkampung di depan pintu masuk Universiti Malaysia (UM) kerana mendapat aduan daripada pentadbiran kampus.

“Aduan dari pihak universiti sendiri yang memaklumkan mereka (mahasiswa) mendirikan khemah sejak malam tadi.

“Kami dari pihak DBKL tidak membenarkan apa-apa struktur didirikan di kawasan ini,” kata Ketua Penguatkuasaan Zon Selatan DBKL Nasarudin Daharun.

Sepasukan anggota polis dan penguatkuasa DBKL petang ini muncul untuk menggempur tapak perkhemahan 'Occupy UM'

Selepas rundingan sejam, aktivis mahasiswa akhirnya akur dan merobohkan sendiri khemah berkenaan.

Bagaimanapun Pengerusi Pro-Mahasiswa UM Safwan Shamsudin berkata, mereka mempertimbangkan untuk mendirikannya semula kelak.

'Kami sudah terangkan'

Sementara itu, Nasarudin juga memberi amaran bahawa mereka akan menyita khemah berkaitan jika kumpulan mahasiswa mendirikan semula khemah mereka selepas ini.

"Kami sudah terangkan jadi kalau kami sita lepas ini jangan marah dan kami akan bertindak dengan menyita khemah itu,” ujarnya.

Sejak malam tadi, mahasiswa berkumpul bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan UM menggantung pengajian dan mendenda rakan mereka yang terlibat dalam penganjuran pidato Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tanpa kebenaran.

Mereka berazam berkumpul sehingga UM menarik balik hukuman itu.

Mereka juga menggalakkan orang ramai mengambil bahagian bagi menyatakan setiakawan dengan lapan aktivis yang dihukum itu.