BERITA

K'jaan timbang semak kadar elaun rumah

Diterbitkan
Dikemaskini 18 Dis 2014, 9:29 pagi

Kerajaan akan mempertimbang untuk menyemak semula kadar Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) penjawat awam pada tahun hadapan, selepas kali terakhir imbuhan itu disemak pada 2005.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata kerajaan prihatin menjaga kebajikan penjawat awam dengan membuat semakan gaji dan elaun dari semasa ke semasa supaya ia sejajar dengan kos sara hidup.

"Pada tahun hadapan, kerajaan akan mempertimbang semula semakan kadar ITP ini sejajar dengan kos sara hidup semasa. Namun begitu, ia bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan," katanya di persidangan Dewan Negara di ibunegara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Yahaya Mat Ghani yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menaikkan elaun perumahan bagi penjawat awam di negara ini.

Shahidan berkata ITP ditentukan mengikut gred perkhidmatan pegawai, dan ia diberikan kepada penjawat awam yang tidak menduduki rumah kerajaan atau rumah yang disewa oleh kerajaan.

Semakan terakhir kadar ITP pada 1 Januari 2005 telah menetapkan kadar ITP bagi kumpulan pelaksana dinaikkan daripada RM135 kepada RM180 sebulan, katanya.

- Bernama

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.