Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: PDRM tunggu laporan berkaitan lelaki Iran
Diterbitkan:  Dec 19, 2014 7:46 AM
Dikemaskini: Dec 19, 2014 2:39 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menunggu laporan daripada pihak Australia sama ada lelaki Iran yang ditembak mati dalam insiden tebusan di sebuah kafe di Sydney Isnin lalu pernah menetap di Malaysia.

   

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya sedang menunggu laporan terperinci daripada negara berkenaan bagi mengetahui butiran peribadi lelaki berkenaan.

   

"Kita nak tahu siapa dia, nama sebenar dia dan nombor pasport... baru kita boleh membuat semakan," katanya kepada pemberita ketika ditanya adakah lelaki Iran itu yang menjadikan 17 individu terdiri daripada staf dan pengunjung kafe berkenaan sebagai tebusan pernah menetap di Malaysia.

   

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Balai League Table (BLT) di Petaling Jaya semalam apabila diminta mengulas laporan akhbar tempatan mengenai Man Haron Monis,50, yang mati ditembak polis Australia dalam drama tebusan 17 mangsa di Sydney, dikatakan pernah menetap di Malaysia.

   

Dalam insiden itu, dua tebusan juga terbunuh iaitu pengurus kafe berkenaan Tori Johnson, 34, dan pekerja kafe Katrina Dawson, 38.

   

Laporan akhbar itu juga menyebut suspek dikatakan melarikan diri ke Malaysia pada 1996 setelah menyedari dikehendaki polis Iran berhubung jenayah ganas dan penipuan yang dilakukannya.

   

Tarikh sebenar suspek meninggalkan Malaysia bagaimanapun tidak diketahui namun Australia memberikan status pelarian kepadanya pada 2001, menurut laporan itu.

   

- Bernama

Lihat Komen
ADS